MESKIPUN pemecatan penjawat awam yang terlibat rasuah merupakan langkah baik dalam membendung gejala itu, langkah tersebut perlu dilaksanakan melalui proses sewajarnya sebelum tindakan drastik diambil, kata badan pemerhati rasuah di dalam negara.
Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan, berkata, proses pemecatan kakitangan kerajaan merupakan perkara tidak mudah untuk dilaksanakan kerana ia mesti disertakan dengan bukti mencukupi mengenai salah laku yang terjadi.
"Undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk mendakwa dan memberhentikan mereka yang ingkar. Jika tidak, ia boleh dicabar,” katanya.
BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap
Sehubungan itu, Muhammad mencadangkan supaya kerajaan menjadikan peruntukan Salah Laku Sektor Awam (MIPO) sebagai sebahagian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.
Katanya, kewujudan peruntukan tersebut dilihat mampu memberikan hukuman terhadap penjawat awam yang gagal dalam tugas fidusiari mereka untuk melindungi kepentingan kerajaan dan pembayar cukai.
Beliau turut menyentuh kerugian ditanggung setiap tahun oleh kerajaan seperti terbukti menerusi Laporan Ketua Audit Negara.
“MIPO sudah pun menjadi item strategi dalam Strategi Anti Rasuah Nasional. Kerajaan harus mendesak untuk mempercepatkan pindaan ini,” katanya.
Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, Pushpan Murugiah berkata, walaupun pemecatan diperlukan dalam keadaan tertentu untuk membendung rasuah dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam, proses yang sewajarnya dan berhati-hati mesti dilaksanakan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pemecatan adalah benar-benar cara terbaik untuk menghapuskan rasuah, sambil menambah mungkin terdapat penjawat awam yang terdedah kepada tekanan individu berkuasa terlibat dalam urusan rasuah.
“Ini bukan bermakna pegawai yang rasuah dan mementingkan diri sendiri tidak wujud. Mereka lakukan, dan mereka harus ditangani dengan segera dan berkesan – malah dikeluarkan daripada perkhidmatan kerajaan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, adalah penting pemecatan tidak dianggap sebagai penyelesaian terbaik untuk menangani salah laku dalam perkhidmatan awam, kerana berbuat demikian membawa risiko gagal menangani punca utama dan menjadikan pegawai berpangkat rendah sebagai kambing hitam,” tambahnya .
Murugiah berkata, kewujudan ombudsman perlu dipertimbangkan untuk menjalankan siasatan bebas terhadap salah laku dalam kalangan penjawat awam.
"Kebebasan ombudsman adalah penting kepada fungsinya, membolehkan penyiasatan dijalankan bebas daripada pengaruh luar dan menghalang hukuman yang tidak seimbang," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim turut mengulangi pandangan itu, berkata, ketelusan dan akauntabiliti adalah elemen penting dalam proses pemecatan penjawat awam.
“Ini bagi mengelakkan salah faham atau tuduhan tidak adil.
“Pemberi maklumat juga mesti diberi perlindungan yang mencukupi kerana ia akan menggalakkan lebih ramai untuk melangkah ke hadapan tanpa rasa takut,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram