UiTM ada masa 2 bulan betulkan isu berbangkit Laporan Ketua Audit Negara — PAC


  • Primer
  • Isnin, 18 Mac 2024

UiTM gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan di bawah Akta Universiti Teknologi Mara 1976 untuk mengambil alih UiTM Private Education Sdn Bhd (UPESB) dan UiTM Technoventure Sdn Bhd (UTVSB).

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperbetulkan isu berbangkit melibatkan pembelian saham bernilai RM259.98 juta dalam tempoh 12 tahun tanpa kelulusan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ia merupakan salah satu daripada enam perkara yang disyorkan kepada KPT dan UiTM untuk ditambah baik.

Pembelian saham yang tidak diluluskan itu diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember.

"PAC akan memanggil semula Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM dalam prosiding susulan dalam masa dua bulan untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai cadangan jawatankuasa itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Tahap penguasaan UASA diubah kepada peratus, gred mulai tahun ini — Fadhlina Sidek

Beliau berkata, UiTM gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan di bawah Akta Universiti Teknologi Mara 1976 untuk mengambil alih UiTM Private Education Sdn Bhd (UPESB) dan UiTM Technoventure Sdn Bhd (UTVSB).

"Ini termasuk suntikan RM259.98 juta oleh UiTM antara 2007 dan 2018, tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan, bagi tujuan pemerolehan saham daripada UiTM Holdings yang tidak mengikut Akta," katanya.

Tambahnya lagi, PAC juga mendapati syarat pemindahan tanah untuk Solar Park I Gambang di Pahang masih belum dipenuhi walaupun projek UiTM Holdings akan memberi manfaat kepada operasi UiTM.

Jelasnya lagi, kegagalan untuk memeterai perjanjian sewa baharu telah menyebabkan Pusat Pakar UiTM tidak diselenggara dengan baik.

BACA LAGI: Lapor jika bantuan persekolahan dipotong — Fadhlina Sidek

Mas Ermieyati berkata, pada masa sama, UiTM Holdings dan anak syarikatnya masih belum mencapai sasaran perniagaan strategik mereka.

"Antara saranan PAC termasuk UiTM menambah baik penyeliaannya terhadap UiTM Holdings dan anak syarikatnya bagi memastikan keuntungan dan pematuhan mereka terhadap Akta tersebut.

"Kementerian Pengajian Tinggi dan UiTM mesti mengambil tindakan (membawa) suntikan RM259.98 juta selaras dengan Akta," katanya.

Dalam prosiding pada 6 Disember tahun lalu, PAC memanggil enam saksi dan mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpullan UiTM Holdings, Farisan Mokhtar.

Dalam mesyuarat penyediaan laporan berkenaan yang berlangsung 27 Februari lalu, ia turut dihadiri tujuh Ex-Officio PAC terdiri daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram