LANGKAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan program bersama saintis di 100 sekolah seluruh negara bagi meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilihat sebagai satu idea bernas.
Meskipun ia menerima pelbagai pandangan termasuk kritikan daripada beberapa pihak, perkara itu masih dianggap boleh membantu menaik taraf pendidikan Malaysia.
Sebelum ini, seorang pakar pendidikan menerusi akaun Facebooknya Othman Talib mengatakan bahawa pandangan saintis kemungkinan tidak dapat memahami cabaran praktikal yang dihadapi oleh murid dan guru khususnya di sekolah rendah.
BACA LAGI: Tular dakwaan data pelanggan bocor, Maybank yakinkan semua maklumat dilindungi
Kerjasama KPM dengan saintis dilihat sebagai langkah terbaik. — Gambar hiasan/UTHM
Menurutnya, KPM seharusnya memberi fokus kepada isu sebenar iaitu subjek dan konten yang padat, bukan berselindung di sebalik STEM.
Rentetan itu, Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Johor, Dr Roslizam Hassan menyuarakan pandangannya terhadap isu tersebut.
Roslizam bagaimanapun tidak menafikan bahawa terdapat perbezaan sudut pandang antara saintis yang rata-ratanya berpangkat profesor dengan pihak guru.
"Sudut saintis yang mungkin tak pernah sekali pun mengajar di sekolah pastinya berbeza dengan pelaksana (guru) di sekolah.
"Profesor hebat dari segi kajian dan teori. Guru pula ialah mereka yang berada di lapangan yang berhubung secara terus dengan murid.
"Guru merasai suka duka dan penuh pengalaman dalam hal STEM di sekolah. Dengari dan fahami apa yang mereka luahkan walaupun bukan semua boleh kita entertain namun bukan lah semua juga kita harus tolak dan tutup telinga," katanya kepada Majoriti.
Dr Roslizam Hassan
Beliau turut menyarankan agar kumpulan saintis dan guru bersama-sama berganding bahu mencari titik persamaan dalam usaha menarik minat murid dalam bidang STEM.
Menurutnya, adalah tidak adil untuk terus mengatakan idea tersebut tidak berfaedah dan membuang masa tanpa terlebih dahulu dilaksanakan.
"Jika ada pun kelemahan dalam pelaksanaannya nanti, tidak salah untuk diperbaiki. Yang penting adalah niat baik untuk sama-sama melihat negara ini berubah menjadi negara yang lebih maju, lebih kaya, dan lebih sifat manusiawi pada masa akan datang," jelasnya.
Baginya, pendidikan STEM sama sekali tidak membebankan murid, malah akan meningkatkan kualiti pendidikan negara serta melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berpengetahuan.
Namun, beliau juga cakna tentang kebimbangan sesetengah ahli akademik terhadap isu kandungan atau konten yang terlalu berat di dalam setiap subjek STEM terutamanya untuk murid sekolah rendah.
Bidang STEM yang dilihat mampu menarik minat murid sekolah rendah. — Gambar hiasan/UTHM
Roslizam tidak menolak bahawa ia sedikit sebanyak akan membuatkan murid hilang rasa minat dalam subjek STEM.
"Bukan subjek yang terlalu banyak. Namun konten atau silibus yang dilihat tidak sesuai dengan tahap umur murid.
"Sebagai bekas guru Matematik, saya akui bahawa tahap silibus Matematik murid sekolah rendah dan menengah adalah sangat tinggi sekarang," jelasnya.
Terdahulu, KPM melaksanakan program bersama saintis dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dan MOSTI pada 30 Mei lalu juga mengorak langkah menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM yang memberi fokus khusus kepada hala tuju STEM bermula peringkat sekolah sehingga ke pendidikan tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram