BN nafi keluar arahan larang jemput 4 individu termasuk Rafizi berkempen di PRK Nenggiri


  • Politik
  • Khamis, 25 Jul 2024

BN turut menegaskan bahawa semua kenyataan akan disiarkan hanya di laman Facebook rasmi Barisan Nasional.

BARISAN Nasional (BN) nafi mengeluarkan kenyataan melarang pusat daerah mengundinya daripada menjemput empat individu termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli daripada berucap semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Kelantan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, gabungan itu berkata, dakwaan palsu terbabit merupakan usaha berunsur politik bertujuan memecahbelahkan perpaduan dalam kerajaan semasa.

BN turut menegaskan bahawa semua kenyataan akan disiarkan hanya di laman Facebook rasmi Barisan Nasional.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

"Kami berharap orang ramai tidak terpedaya dengan taktik politik sebegitu setiap kali menjelang pilihan raya. Kami menggesa semua pihak untuk terus bertanggungjawab dan tidak menyebarkan berita palsu seperti itu," jelas kenyataan itu.

Terdahulu, tular satu kenyataan palsu pada Selasa kononnya daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyenaraikan empat individu dilarang hadir pada kempen PRK Nenggiri ekoran kekalahan PRK Sungai Bakap.

Selain Rafizi, tiga lagi individu yang dinamakan dalam kenyataan palsu itu ialah ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli, Wan Mahussin Wan Zain, dan seorang pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjadualkan hari penamaan calon PRK Nenggiri dan pengundian awal masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, dengan 17 Ogos sebagai hari pengundian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram