KETUA Pemuda Umno, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, rasmi dipilih sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.
Pengumuman ini disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam sidang media pada khamis.
Beliau menyatakan bahawa pemilihan Mohd Azmawi, 38 tahun, diputuskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan sokongan dari kepemimpinan Umno Gua Musang serta akar umbi.
BACA LAGI: Ketua Pemuda Umno Kelantan calon BN di PRK Nenggiri
BACA LAGI:Umno pilih calon lelaki bertanding PRK Nenggiri, sedia umum lebih awal
Mohd Azmawi, 38 tahun, diputuskan oleh Ahmad Zahid Hamidi dengan sokongan dari kepemimpinan Umno Gua Musang serta akar umbi. — The star
Ahmad Jazlan juga menegaskan bahawa Umno sentiasa memberikan peluang kepada calon muda untuk menjadi pewaris parti, dan yakin bahawa Mohd Azmawi, yang juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang itu mampu merebut semula kerusi DUN Nenggiri dalam PRK yang akan datang.
Memetik laporan The Star, Ahmad Jazlan berkata, Umno Kelantan akan bersama-sama Mohd Azmawi agar dapat memikul tanggungjawab besar yang diberikan itu.
"Selain Umno Kelantan, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta Badan Perhubungan Umno Negeri-Negeri akan turut membantu sepanjang tempoh berkempen.
"Kita sedar PRK Nenggiri bukan perkara mudah namun kita berjanji akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kejayaan.
"Kita juga merayu pengundi DUN Nenggiri, tidak kira di mana berada supaya memberi sokongan dan undi kepada calon Umno," katanya.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.
Hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram