Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air


  • Massa
  • Isnin, 22 Jul 2024

Untuk rekod, perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang ditandatangani pada 1962 dijadualkan akan hanya tamat pada 2061.

KERAJAAN mempunyai pilihan menggunakan kaedah arbitrasi atau timbang tara di mahkamah antarabangsa sekiranya isu semakan semula terhadap perjanjian air antara Malaysia dan Singapura terus berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz berkata, pada waktu ini, kedua-dua negara dilihat mentafsir perjanjian berkenaan dengan pemahaman yang berbeza.

Situasi itu menurut beliau menjadi punca utama rundingan antara kedua-dua negara berhubung masalah berkenaan gagal direalisasikan.

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan

"Cara kita interpretasi perjanjian tu lain. Singapura faham Malaysia tidak ada hak untuk interpretasi (semak semula perjanjian) sebelum 2061. Malaysia pula faham kita boleh buat interpretasi setiap 25 tahun.

"Jadi, itu menyebabkan usaha untuk menyemak semula perjanjian itu ditolak oleh Singapura meskipun kerajaan Malaysia sudah mengusulkannya beberapa kali," katanya kepada Majoriti.

Farhatul berkata, selain isu pentafsiran perjanjian, Malaysia juga boleh menjadikan peningkatan semasa kos penyediaan bekalan air sebagai asas untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah timbang tara antarabangsa.

WhatsApp Image 2024-07-21 at 14.44.31

Dr Farhatul Mustamirrah Mahamad Aziz

"Timbang tara boleh melihat perjanjian tersebut dan tentukan tafsiran mana yang betul sama ada Singapura atau Malaysia.

"Dengan pastikan perkara tersebut, baru Malaysia boleh push Singapura untuk berunding pasal isu air," ujarnya.

Dalam pada itu, Farhatul berkata, beliau tidak melihat bahawa langkah timbang tara itu sebagai satu bentuk provokasi yang boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Ujarnya, ini kerana penggunaan timbang tara itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan ia juga pernah digunakan dalam menyelesaikan isu tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

Buat Singapura berunding lebih serius

Tambahan pula, beliau berkata, keputusan untuk membawa perkara tersebut ke timbang tara juga perlu terlebih dahulu dipersetujui oleh Singapura.

"Mengikut perspektif undang-undang antarabangsa, kalau kita nak hantar ke timbang tara, kedua-dua negara terlibat wajib bersetuju. Kalau Singapura bersetuju, Malaysia tak bersetuju kita tidak boleh tarik ke timbang tara.

"Sama dengan kes Pulau Batu Putih, kenapa kita bawa kepada ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), sebabnya dua-dua pihak nampak perkara ini perlu diselesaikan di peringkat mahkamah. Jadi dua-dua bersetuju," ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan Malaysia untuk mengusulkan isu tersebut ke timbang tara juga berpotensi untuk menjadi cara untuk memaksa Singapura untuk berunding dengan lebih serius.

Pulau Batu Puteh (file pic)

Penggunaan timbang tara bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan ia juga pernah digunakan dalam menyelesaikan isu tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

"Sebab kalau bawa ke timbang tara, Singapura mungkin nampak mereka boleh kalah. Jadi mungkin itu caranya bagi mempercepatkan proses Singapura dan Malaysia untuk berbincang dengan lebih serius," ujarnya.

Untuk rekod, perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang ditandatangani pada 1962 dijadualkan akan hanya tamat pada 2061.

Menerusi perjanjian itu, Singapura diberikan hak mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat dari republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Perjanjian itu bagaimanapun dikritik kerana ia dilihat memberikan keuntungan kepada Singapura yang memperolehi air mentah pada harga cukup murah dan tidak disemak semula selepas lebih enam dekad

Sebelum ini, Singapura dilaporkan sudah bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan mengenakan syarat Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011 namun ia ditolak republik tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram