PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan terus memberi kepercayaan kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan selepas bekas Ahli DUN (Adun) mereka, Mohd Azizi Abu Naim, mengkhianati parti.
Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan pihaknya akan memastikan pisang tidak berbuah dua kali di DUN Nenggiri selepas apa yang berlaku sebelum ini.
"Kita akan pastikan sebaik mungkin, pisang tidak berbuah dua kali dan kita juga yakin pengundi akan terus memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU.
BACA LAGI: Undi18: Anak muda dan Gen Z miskin kritis, terperangkap dalam dunia sendiri
BACA LAGI: Calon PN lebih baik, matang berbanding calon BN — Annuar Musa
PRK Nenggiri diadakan selepas Azizi dihentikan keahlian parti.
"Soal BERSATU akan berdepan berapa penjuru, kita akan lihat nanti pada hari penamaan. BERSATU juga jelas bahawa kita menggunakan logo PAS di PRK Nenggiri nanti.
"Keputusan itu dibuat dengan mengekalkan kaedah sebagaimana dibuat pada pilihan raya lalu," katanya pada sidang media selepas Ceramah Isu Semasa Pertahan Nenggiri di Gua Musang, Kelantan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, pihaknya juga belum memuktamadkan lagi soal calon yang bakal bertanding.
"Perkara itu masih dalam proses kerana kita masih mempunyai masa yang ajak panjang sebelum hari penamaan 3 Ogos nanti," katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ceramah, Radzi memohon gelombang kemenangan besar di PRK Sungai Bakap akan dibawa ke PRK Nenggiri.
"Jika di Sungai Bakap kita menang besar tiga kali ganda, di PRK Nenggiri juga kita mahukan kemenangan seperti itu. Insya-ALLAH 17 Ogos nanti, seluruh Malaysia akan meraikan kemenangan PRK Nenggiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram