Bayi 8 bulan dirawat ICU, disyaki didera ibu dan teman lelaki di Pontian


  • 112
  • Khamis, 25 Jul 2024

Seorang ibu dan teman lelakinya didakwa melakukan penderaan terhadap seorang bayi berusia lapan bulan di Pontian, Johor.

SEORANG bayi lelaki berusia lapan bulan menjadi mangsa kekejaman penderaan ibu dan teman lelakinya sehingga terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Pontian, Johor pada Khamis.

Laporan kejadian diterima daripada seorang pegawai perubatan dari Hospital Pontian berhubung keadaan bayi itu kira-kira pukul 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, bayi berkenaan dibawa ke sebuah klinik swasta di bandar tersebut sebelum dibawa ke Hospital Pontian.

BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh

BACA LAGI: Ada yang 'tak termakan' kisah sedih Datuk Red, polis siasat dakwaan scam jual beli tanah

"Ketika dibawa dari klinik swasta ke hospital, bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bayi berkenaan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan pegawai perubatan pakar klinikal Jabatan Pediatrik mendapati punca bayi itu tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan otak.

"Selain itu, bayi berkenaan juga mengalami kekurangan oksigen dan terdapat kecederaan di dahi dan lebam di bahagian mata, disyaki ada unsur penderaan berlaku ke atas bayi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohammad Shofee berkata, bayi berkenaan kini ditidurkan kerana masalah pernafasan.

"Susulan itu, ibu bayi yang berusia 26 tahun ditahan di HSA Johor Bahru, manakala teman lelaki berusia 24 tahun, sudah menyerah diri Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian pada Rabu.

"Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan ditahan reman selama tujuh hari mulai Khamis bagi siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (A ) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram