STPM 2023 rekod keputusan PNGK tertinggi dalam sejarah


  • Primer
  • Selasa, 23 Jul 2024

PNGK nasional STPM 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata secara keseluruhan, sekali gus tertinggi sejak peperiksaan tersebut dilaksanakan di negara ini.

PURATA Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 menunjukkan peningkatan kepada 2.84 berbanding 2.82 tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, PNGK nasional STPM 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata secara keseluruhan, sekali gus tertinggi sejak peperiksaan tersebut dilaksanakan di negara ini.

"Seramai 1,116 calon atau 2.7 peratus mendapat PNGK 4.00.

BACA LAGI: Keputusan STPM diumum 23 Julai

BACA LAGI: Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

"Jumlah calon yang meraih PNGK 4.00 ini menurun sebanyak 68 calon iaitu daripada 1,184 calon pada 2022 kepada 1,116 calon pada tahun lalu dengan 803 calon atau 71.95 peratus daripada kategori B40," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2023 di MPM, Selayang, Selangor pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian PNGK calon, Mohd Ekhwan berkata, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10.10 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 44.82 peratus.

"PNGK 2.75 dan ke atas ialah 58.79 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 90.08 peratus turut meningkat berbanding 2022," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-07-23 at 14.10.33

Mohd Ekhwan

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A bagi kelima-lima mata pelajaran juga meningkat daripada 38 calon pada 2022 kepada 41 calon dalam peperiksaan STPM 2023.

Menurut beliau, 29 daripada 41 calon yang mendapat 5A merupakan calon kategori B40.

"Bagaimanapun, bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2023 menurun daripada 1,158 calon pada tahun 2022 kepada 1,087 calon pada 2023.

"Penurunan ini adalah sebanyak 71 calon atau 6.13 peratus daripada tahun 2022 dan 782 daripadanya calon dari kategori B40," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2023 merekodkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C dan ke atas.

Ujarnya lagi, bagi peperiksaan STPM 2023, daripada 41,548 calon yang hadir, sebanyak 99.93 peratus atau 41,520 calon layak dianugerahkan sijil STPM manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini.

"Syarat layak untuk mendapatkan Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran," katanya.

MPM dalam pada itu turut memilih 17 pelajar STPM 2023 terbaik dalam pelbagai kategori termasuk aliran Sains dan Sains Sosial, Orang Asli serta calon berkeperluan pendidikan khas dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil.

Keputusan STPM 2023 boleh diperolehi bermula pukul 11. 30 pagi Selasa menerusi beberapa platform seperti sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPMNo.K/PAngka Giliran dan hantar ke 15888.

Selain itu, pelajar juga boleh menyemak di laman sesawang http://stpm.mpm.edu.my/stpmK. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram