[VIDEO] Dera kanak-kanak autisme, guru lelaki mengaku tak bersalah di Mahkamah Majistret PJ


Majistret membenarkan Thinesh (dua dari kiri) diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

SEORANG guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Selangor pada atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak autisme di pusat jagaan kanak-kanak istimewa pada 17 Julai lalu.

M Thinesh, 33, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang budak lelaki berusia enam tahun di pusat jagaan berkenaan pada pukul 11.50 pagi hari kejadian.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan Thinesh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan dia untuk tidak melakukan sebarang gangguan terhadap mangsa.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Majoriti pada 18 Julai lalu melaporkan mengenai kes seorang guru lelaki ditahan selepas memukul dan menendang seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 36 tahun kira-kira pukul 12.39 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek telah menendang, memukul dan menarik kanak-kanak berkenaan secara kasar sehingga menyebabkan mangsa terjatuh daripada kerusi.

Kata beliau, siasatan lanjut turut menemui kesan gigitan pada tangan budak lelaki terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram