Suspek perdaya tayar kereta pancit, cekik wanita di Tawau pernah terlibat jenayah pecah rumah


  • 112
  • Selasa, 23 Jul 2024

Tangkap layar video seorang wanita cedera selepas dicekik dan ditendang peragut dalam satu percubaan samun di Tawau, Sabah pada Ahad.

POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan yang terlibat kes cubaan samun seorang wanita di parkir belakang sebuah premis di Jalan Pelabuhan, Tawau, Sabah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota Strike Team dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya memberkas suspek berusia 38 tahun itu di sekitar Kampung Tanjung Batu Keramat, kira-kira pukul 5.40 petang.

Menurutnya, sewaktu tangkapan dibuat, suspek cuba bertindak agresif hingga berlaku pergelutan antara polis dan suspek.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru lelaki cuba samun, cekik wanita dalam kereta di Tawau

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki Ranau khayal dadah, bikin kecoh tunjuk pistol di Kuala Terengganu

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan anggota Strike Team dan BSJ IPD Tawau,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, lelaki berkenaan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan samun.

"Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki dua rekod berkaitan jenayah pecah rumah dan dadah,” katanya.

Pada Ahad, video memaparkan seorang wanita cedera selepas dicekik dan ditendang seorang lelaki dalam satu percubaan samun di Tawau tular di media sosial.

Mangsa bernasib baik apabila jeritannya meminta tolong didengari oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian suspek menegur mangsa berusia 32 tahun itu dengan mengatakan tayar keretanya pancit sebelum suspek secara tiba-tiba terus mencekik leher.

Suspek kemudian cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal lalu melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram