EMPAT nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang kerana menceroboh zon penangkapan ikan di kedudukan enam batu nautika barat Teluk Kampi, Pulau Pinang pada Selasa.
Pengarahnya, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kesemua nelayan berkenaan ditahan ketika pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 5 pagi selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
"Pada awalnya bot peronda melakukan rutin penguatkuasaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan yang pada ketika itu dalam keadaan mencurigakan.
BACA LAGI: Bot nelayan karam Segenting: Peluang masih hidup tetap ada — Maritim
“Bot penguatkuasa bertindak menghampiri bot berkenaan setelah melihat situasi tersebut dan mendapati mereka sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, kesemua nelayan yang ditahan itu melakukan aktiviti menangkap ikan tidak mengikut syarat sah lesen kelas C.
Razali berkata, kesemua kru bot yang ditahan itu berumur di antara 42 hingga 64 tahun dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.
Tambahnya, kesemua suspek serta hasil tangkapan dianggarkan 150 kilogram ikan baja telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram