Tak perlu sensasi pun, dia memang sengaja 'join' — Ketua Umno Bahagian Balik Pulau


  • Politik
  • Isnin, 22 Jul 2024

Foto (gambar kiri) yang didakwa menjadi punca kepada pemecatan Ismail.

ISU pemecatan Ismail Kassim hanyalah isu kecil dan tidak perlu dibesarkan, kata Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Ismail yang dipecat daripada menjadi ahli Umno Balik Pulau hanya kerana dirakam menunggang motosikal bersama konvoi Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

"Yang dia kata kebetulan lalu kawasan sama (dengan konvoi PN) itu tidak betul, (yang sebenarnya) dia memang sengaja menyertainya.

BACA LAGI: Ahli Umno Balik Pulau dakwa dipecat tanpa usul periksa hanya kerana gambar 'photobomb'

BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan

"Kita juga tahu ada banyak sangat bukti pasal dia join program (parti) lain.

"Namun ini bukanlah masalah besar yang perlu kita fikirkan. Tak perlu sensasi pun, banyak lagi isu lain yang nak (dibincangkan)," katanya kepada Majoriti.

Headan Ayoob memberitahu, Umno Pulau Pinang hanya berhasrat untuk mengekalkan ahli yang benar-benar membuktikan kesetiaan kepada parti.

Tegas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang itu lagi, beliau lebih mengutamakan aspek kualiti ahli-ahlinya berbanding kuantiti.

"Kita senang saja, kita akan pastikan ahli yang betul-betul dengan Umno, Biar sikit pun tak apa, janji berkualiti.

"Kalau (Ismail) nak, beliau boleh buat rayuan, lepas itu kita akan bincangkanlah," katanya.

Headan Ayoob

Majoriti pada Ahad melaporkan, hanya gara-gara secara kebetulan dirakam menunggang motosikal bersama konvoi PN semasa PRN tahun lalu, Ismail mendakwa dirinya dipecat daripada parti dengan cara yang tidak adil.

Difahamkan, beliau hanya mengetahui tentang pemecatannya ketika Mesyuarat Agung Umno peringkat bahagian yang diadakan pada Sabtu.

Menurutnya, berita mengenai perkara berkenaan juga disampaikan secara lisan kepadanya pemimpin di peringkat bahagian ketika dia mahu mendaftar untuk membuat ucapan sebagai perwakilan ketika mesyuarat berkenaan.

"Luluhnya hati ni bila baca WhatsApp ditunjukkan oleh SUB (Setiausaha Bahagian). Hanya ALLAH yang tahu. Sebagai ahli yang patuh dengan keputusan serta akur dengan tindakan, maka saya terus bergerak keluar Dewan dengan linangan air mata," tulisnya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram