Polis tahan 3 suspek bantu siasatan kes budak hilang di Johor


  • 112
  • Selasa, 23 Jul 2024

Foto kanak-kanak berusia enam tahun tersebut yang dikongsikan di media sosial sejak Sabtu.

POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Johor Komisioner, M Kumar berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 28 hingga 55 tahun itu ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada pukul 1.30 tengah hari Isnin.

Menurutnya, kanak-kanak perempuan berkenaan setakat ini bagaimanapun masih belum ditemui.

BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun hilang ketika hadiri sambutan Bon Odori di Johor

BACA LAGI: 'Cukup-cukuplah', MB Johor tegaskan dakwaan kasino di Forest City fitnah, berniat jahat

1

Foto terakhir memaparkan kanak-kanak tersebut di sambutan Bon Odori.

"Ketiga-tiganya akan direman esok pagi (Selasa). Siasatan dijalankan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

"Jika sabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Ujarnya, sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.

Kanak-kanak perempuan tersebut dilaporkan hilang ketika menghadiri satu majlis di Gelang Patah pada pukul 8.30 malam, pada Sabtu lalu.

Dia kali terakhir dilihat mengenakan baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada serta berseluar pendek.

Kanak-kanak tersebut, Albertine Leo Jia Hui berumur enam tahun dan bertubuh kurus sederhana.

Sebelum ini, tular beberapa keping foto di media sosial memaparkan kanak-kanak perempuan itu menghadiri Sambutan Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Orang awam menerusi media sosial turut mengesan budak itu berada di Bangunan Sultan Ismail (BSI) bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram