Mahkamah tolak permohonan lepas tanpa bebas, perbicaraan kes pecah amanah Najib, Irwan Serigar tangguh 14 November


Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan CBT berjumlah RM6.6 bilion melibatkan bayaran kepada IPIC.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah agar dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

Perbicaraan pecah amanah (CBT) dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion membabitkan Najib dan Mohd Irwan ditangguhkan semula pada 14 November depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin memaklumkan bahawa mereka perlu bersedia kerana ini adalah penangguhan terakhir dan perbicaraan akan diteruskan pada tarikh tersebut.

BACA LAGI: Bocor memo kes Najib pecah amanah tak penuhi syarat, Pemuda Umno gesa siasatan lanjut

BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan

"Tiada lagi penangguhan," katanya pada Isnin.

Pada awal prosiding, peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Mohd Irwan yang diwakili, Datuk Seri K Kumaraendran telah membuat permohonan lisan untuk anak guam mereka.

Kedua-duanya memohon agar anak guam mereka DNAA atas alasan pihak pembelaan masih belum menerima dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan untuk menyediakan kes pembelaan mereka.

Hakim Muhammad Jamil bagaimanapun menolak permohonan itu.

Beliau menangguhkan prosiding pada November bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan menyelesaikan dan menyahklasifikasi dokumen yang akan digunakan untuk perbicaraan.

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan Serigar, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan CBT berjumlah RM6.6 bilion dalam dana kerajaan melibatkan bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram