Empat remaja rogol budak bawah umur di Teluk Intan bebas dengan jaminan polis


  • 112
  • Isnin, 22 Jul 2024

Kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu dibebaskan selepas tempoh reman selama tiga hari berakhir pada Ahad.

EMPAT remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu dibebaskan selepas tempoh reman selama tiga hari berakhir pada Ahad.

Menurutnya, tempoh reman selama tiga hari tidak disambung semula.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang

BACA LAGI: Polis tahan 4 remaja rogol budak perempuan bawah umur bergilir-gilir dalam kereta dan rumah di Teluk Intan

“Siasatan kes masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya pada Isnin.

Majoriti pada Jumaat melaporkan, polis menahan empat remaja lelaki dengan dua daripada mereka masih bersekolah, selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan secara bergilir-gilir.

Ahmad Adnan berkata, berdasarkan siasatan, suspek pertama dan kedua merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta ketika mangsa keluar bersama suspek di Air Terjun Lata Kinjang, Tapah pukul 6.30 petang.

Ujar beliau, kira-kira 8.30 malam, hari yang sama, suspek ketiga merogol mangsa ketika mangsa mengikuti suspek pulang ke rumahnya di sekitar daerah Hilir Perak.

"Seorang lagi suspek merogol mangsa pada pukul 12.30 tengah malam Khamis di kawasan semak di Teluk Intan ketika mangsa dan suspek keluar bersiar-siar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram