[VIDEO] Angka kematian cecah 133 orang, perintah berkurung ketat di Bangladesh mula kuat kuasa


  • Benua
  • Ahad, 21 Jul 2024

Anggota tentera dikerah selepas pihak polis gagal mengawal keadaan selepas rusuhan tercetus di Dhaka, Bangladesh.

TENTERA terus membuat rondaan di bandar Bangladesh pada Sabtu untuk menghentikan kekecohan yang semakin meningkat selepas dicetuskan demonstrasi pelajar dengan polis menembak penunjuk perasaan yang mengingkari perintah berkurung kerajaan.

Insiden itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 133 individu terbunuh setakat ini seperti dilaporkan polis dan hospital, sekali gus menimbulkan cabaran besar kepada kerajaan autokratik Perdana Menteri Sheikh Hasina yang sudah berkuasa selama 15 tahun.

Perintah berkurung berkuat kuasa pada tengah malam dan Pejabat Perdana Menteri meminta tentera mengerahkan anggotanya selepas polis sekali lagi gagal mengatasi kekecohan yang meluas.

BACA LAGI: [VIDEO] Bangladesh umum perintah berkurung susulan protes berdarah

BACA LAGI: Rangkaian internet lumpuh di seluruh Bangladesh, korban protes pelajar cecah 25 individu

"Tentera ditempatkan di seluruh negara untuk mengawal keadaan undang-undang dan ketertiban," kata jurucakap angkatan tentera, Shahdat Hossain kepada agensi media antarabangsa.

Perintah berkurung akan terus berkuat kuasa sehingga sekurang-kurangnya 10 pagi waktu tempatan pada Ahad, lapor penyiar swasta Channel 24.

Jalan di ibu negara Dhaka hampir lengang pada waktu subuh dengan tentera berjalan kaki dan dalam kapal pengangkut berperisai meronda di kawasan bandar yang mempunyai penduduk kira-kira 20 juta orang itu.

Bagaimanapun, ribuan kembali ke jalan raya pada lewat hari di kawasan perumahan Rampura dengan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang.

4475156-51376567

Rusuhan tercetus dalam kalangan pelajar di Bangladesh berhubung kuota pekerjaan diumumkan baru-baru ini.

Hospital melaporkan peningkatan jumlah kematian akibat tembakan sejak Khamis lalu kepada AFP.

"Ratusan ribu orang memerangi polis di seluruh ibu negara pada Jumaat," kata jurucakap polis, Faruk Hossain.

"Sekurang-kurangnya 150 pegawai polis dimasukkan ke hospital manakala 150 lagi diberi rawatan pertolongan cemas. Penunjuk perasaan membakar banyak pondok polis. Banyak pejabat kerajaan dibakar dan dirosakkan," katanya sambil menambah dua pegawai dipukul hingga mati.

Kakitangan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka memberitahu bahawa dua lagi pegawai polis dan sembilan lagi terbunuh pada Sabtu lalu.

Empat individu dimasukkan ke dalam rawatan rapi meninggal dunia akibat kecederaan mereka.

Tiga lagi penunjuk perasaan terbunuh di bandar perindustrian Savar di pinggir Dhaka, pusat utama eksport pakaian Bangladesh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram