Wisma Putra atur persiapan pindah, sedia bekalan makanan kepada pelajar Malaysia di Dhaka


  • Primer
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Rusuhan yang berlaku susulan protes terhadap sistem kuota untuk pekerjaan kerajaan di Dhaka, Bangladesh pada Khamis lalu. — Agensi

KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) sedang memantau rapat dan meneliti situasi tegang yang berlaku di Bangladesh pada Khamis lalu.

Kementerian itu berkata, pihaknya juga kini sedang mengatur pemindahan semua pelajar Malaysia di Bangladesh yang terjejas ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh demi keselamatan mereka.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi tersebut giat menyelaraskan usaha itu meskipun menghadapi cabaran besar, seperti gangguan komunikasi yang disebabkan oleh gangguan Internet.

BACA LAGI: Ahli keluarga mohon bantu jejak Salman hilang di Shah Alam

BACA LAGI: Pengasas, penerbit Gila-Gila mohon maaf guna teknologi AI, tiada niat rendahkan martabat karya seni

BANGLADESH-UNREST-STUDENTS_1721487865

Tentera Bangladesh yang dikerahkan di kawasan protes itu. — Agensi

"Suruhanjaya Tinggi komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua warganegara Malaysia di Bangladesh dan bergantung pada komunikasi mesej untuk mengekalkan ketersambungan.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, perintah berkurung telah dilaksanakan setakat tengah malam berikutan keadaan keselamatan yang tidak stabil.

"Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi terus memantau kebajikan pelajar yang terjejas. Pada masa ini, Suruhanjaya Tinggi merancang untuk pergi ke Mymensingh untuk menyediakan bekalan makanan kepada pelajar yang tidak dapat membelinya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, seorang pelajar Malaysia dari Universiti Pertanian Bangladesh berjaya dibantu menaiki penerbangan dan tiba di Malaysia pada Sabtu.

Semua pelajar Malaysia yang memerlukan bantuan juga digesa untuk terus berhubung dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi.

Terdahulu, ribuan pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak 1 Julali lepas selepas mahkamah mengembalikan sistem kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Susulan rusuhan yang belaku itu, kerajaan mengenakan perintah berkurung di negara itu serta mengerahkan tentera dan polis untuk menghalang penunjuk perasaan tersebut.

Sementara itu, lebih 100 orang dilaporkan maut dalam protes yang berlaku sejak Khamis lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram