Kerajaan bakal perkenal Kolej Tingkatan 6 Premium tahun depan — Fadhlina


  • Primer
  • Selasa, 23 Jul 2024

Fadhlina berkata, KPM akan bekerjasama dengan KPT untuk inisiatif tersebut yang bakal turut melibatkan kewujudan program khusus.

KERAJAAN akan memperkenalkan Kolej Tingkatan Enam Premium bermula pada tahun depan dalam usaha menjadikan aliran tingkatan enam sebagai antara arus pendidikan utama pilihan pelajar bagi menyambung pengajian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk inisiatif tersebut yang bakal turut melibatkan kewujudan program khusus.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

"Bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan melihat tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan anak kita, inisiatif penting antara lain untuk pastikan satu program khusus akan kita laksanakan.

"Kolej Tingkatan Enam Premium, hasil silang kementerian antara KPM dan KPT ini, kita mulakan tahun depan akan memberi tumpuan kepada anak-anak tingkatan enam bagi memastikan mereka diberikan keutamaan dalam konteks untuk memastikan dari segi hala tuju dan meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan di tingkatan enam," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

2792138

Fadhlina berkata, KPM turut sedang memperhalusi penambahbaikan lain seperti cadangan pemberian elaun kepada pelajar tingkatan enam yang akan diangkat ke peringkat Belanjawan pada tahun ini. — Gambar hiasan

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2023 di Selayang, Selangor pada Selasa.

Fadhlina berkata, pengumuman lanjut berkenaan inisiatif itu akan diumumkan selepas proses penyelarasan selesai dilakukan.

"Perkara ini masih dalam proses penyelarasan di peringkat KPT dan kita harap program itu mendapat kerjasama baik daripada semua pihak sebelum dilaksanakan pengambilan pertamanya tahun hadapan," ujarnya.

Beliau berkata, selain itu, KPM turut sedang memperhalusi penambahbaikan lain seperti cadangan pemberian elaun kepada pelajar tingkatan enam yang akan diangkat ke peringkat Belanjawan pada tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram