Kes histeria di asrama SMK Batu Kikir, 165 pelajar diberi cuti


  • Primer
  • Isnin, 22 Apr 2024

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (dua dari kanan) ketika melawat asrama SMK Batu Kikir susulan pelajar diserang histeria pada malam Ahad.

SERAMAI 165 pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), Negeri Sembilan terpaksa diberikan cuti selama lima hari bermula pada Isnin ini berikutan kejadian histeria yang berlaku sejak pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dilaporkan berkata, seramai 165 pelajar tinggal di asrama dan setakat Ahad malam, 50 pelajar membabitkan 19 lelaki dan 31 perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami histeria.

"Justeru kesemua pelajar berkenaan dibenarkan pulang dan diberi cuti sehingga dimaklumkan untuk kembali ke asrama," katanya.

Beliau berkata, asrama itu perlu dikosongkan bagi bagi menjalani rawatan pemulihan.

Rakaman suara mengenai kejadian pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu turut tular di media sosial tengah malam Ahad.

Sementara itu, seorang ibu yang mahu dikenali Zai berkata, dia dimaklumkan warden supaya menjemput pulang anak kerana kejadian pelajar diserang histeria.

BACA LAGI: Awasi 'screen time', kedekut dan tenang antara 7 cara kawal anak ketagihan gajet ketika musim perayaan

437969078_1096667668292401_739323257096190849_n

Ahli Parlimen Jempol melawat asrama SMK Batu Kikir susulan pelajar diserang histeria pada malam Ahad.

BACA LAGI: Ziana Zain masuk gim, berlari 'bina muscle' demi gegarkan pentas Mega Star Arena pada 25 Mei depan

"Selepas Maghrib pada Ahad, saya ke sekolah sebelum mendapati anak perempuan berusia 14 tahun dalam keadaan cemas kerana diserang histeria manakala adiknya berusia 12 tahun tidak mengalaminya," katanya.

Menurutnya, kejadian itu kali pertama dialami anaknya selepas masing-masing tinggal di asrama sejak dua dan empat tahun lalu.

Dia berkata, kedua-dua anaknya itu ketika ini dalam keadaan baik dan sedang berehat di rumah.

"Ketika menjemput anak memang jelas kedengaran suara pekikan pelajar bukan saja pelajar perempuan tetapi pelajar lelaki. Serangan histeria dipercayai berlaku sejak Sabtu malam," katanya.

Terdahulu, tular video pelajar diserang histeria di media sosial sejak tengah malam Ahad.

Zai berkata, pihak asrama turut meminta ibu bapa supaya menjemput anak masing-masing untuk dibawa pulang ke rumah malam tadi dan mereka yang tinggal jauh boleh menjemputnya pada Isnin.

Justeru itu, ibu bapa yang tinggal berhampiran bergegas menjemput anak masing-masing termasuk dia pada tengah malam Ahad.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin mengesahkan seramai 165 pelajar asrama sekolah berkenaan dibenarkan pulang selepas kejadian berlaku bermula Sabtu lalu.

Bagaimanapun katanya seramai 20 pelajar tingkatan enam masih berada di asrama sekolah berikutan terbabit dengan peperiksaan.

"Sekolah tidak ditutup dan pembelajaran adalah seperti biasa, hanya pelajar asrama kita benarkan ibu bapa dan penjaga membawa anak mereka pulang untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

"Berdasarkan maklumat, seramai 50 pelajar mengalami histeria dan kita masih memantau perkara ini. Keadaan ketika ini adalah stabil dan usaha pemulihan sedang dilakukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram