PADA 27 Mei lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan keputusan bagi kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, keputusan SPM 2023 mencatatkan peningkatan pencapaian apabila merekodkan Gred Purata Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Malah, beliau berkata, jumlah calon yang memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023 juga dilaporkan bertambah kepada seramai 11,713 calon berbanding 10,109 calon pada 2022.
BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin
BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, adalah menjadi kebiasaan akan terdapatnya pelajar dan ibu bapa yang tidak berpuas hati atau yakin berhubung keputusan yang diterima.
Dalam hal ini, kebiasaannya, mereka akan melakukan permohonan semakan semula keputusan SPM dengan Kementerian Pendidikan.
Ini merupakan praktis biasa disediakan KPM setiap tahun untuk memberi ruang kepada pelajar dan ibu bapa bagi menyemak semula keputusan yang diterima.
Bagaimanapun, dalam proses tersebut, terdapat ibu bapa yang melahirkan rasa tidak puas hati berhubung tempoh waktu keputusan permohonan berkenaan dikeluarkan.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pakar pendidikan, Anuar Ahmad yang menerima pesanan daripada ibu kepada seorang calon SPM 2023 berkenaan perkara tersebut.
"Harap pihak yang bertanggungjawab dapat memberikan penjelasan. Kesian pada ibu bapa dan anak-anak yang berharap," tulis Anuar.
Menerusi mesej berkenaan, wanita tersebut yang merupakan ibu kepada seorang calon peperiksaan itu melahirkan rasa tidak puas hati berhubung kelewatan keputusan permohonan semakan semula SPM.
"Untuk pengetahuan tuan, anak saya ada mohon untuk recheck keputusan SPM, dengan harapan kalau keputusan berubah, dapatlah dia lebih banyak pilihan course sesuai dengan kelayakan dia.
"Tapi hari ni dah hari terakhir untuk kemas kini Unit Pusat Universiti (UPU). Ada kawan dia yang recheck dari hari pertama tahu keputusan lagi, tetapi masih belum dapat keputusan recheck. Untuk makluman, bayaran recheck adalah RM 100 untuk setiap subjek.
"Dan kebanyakan pelajar membuat recheck dengan harapan mereka dapat mohon biasiswa atau untuk dapat tambahan course untuk mereka pilih. Jika dah sampai tarikh akhir dan belum dapat keputusan lagi, apa guna buat recheck?" soal wanita tersebut.
Keputusan SPM 2023 diumumkan pada 27 Mei lalu. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat beberapa pengguna yang turut meluahkan perkara sama berhubung kelewatan keputusan semakan semula terbabit.
"Saya pun recheck untuk anak semasa SPM 2021. Dua subjek RM200. Dah la keputusan keluar lewat dan sudah tidak berguna. Memang menyusahkan. Sudahlah mahal RM100 untuk satu kertas. Harap dapat dilihat semula proses ini jangan menyusahkan ibu bapa dan murid," tulis Roslida Ramlee.
"Anak saya dah habis Tingkatan Enam tahun ini, tunggu punya tunggu semak semula kertas SPM. Sampai sekarang tiada keputusan rasmi dikeluarkan. Apa sebenarnya yang berlaku?" soal Kabut Bilem.
"Begitulah yang berlaku. Rakan sekelas saya SPM dahulu, nak masuk ke matrikulasi, tapi tak lepas syarat BI (Bahasa Inggeris) mesti Kepujian. Keputusan subjek lain lebih daripada layak. Bila recheck grednya naik ke C+ daripada D. Tapi dah lambat punya pasal, tak merasalah nak ke matrikulasi. Akhirnya pergi ke diploma, kemudian bertukar ambil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia)," kongsi Iman Sufi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram