Beri elaun tak ringan beban guru, mohon pertimbang kemudahan asrama pelajar Tingkatan 6 — KGMMB


  • Massa
  • Rabu, 10 Jul 2024

Penyediaan elaun antara usaha KPM dalam menarik minat ramai pelajar lepasan SPM melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. — Gambar hiasan

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mempertimbangkan pemberian elaun kos sara hidup khusus buat pelajar Tingkatan Enam ternyata memberi kelegaan kepada beberapa pihak termasuk warga pendidik.

Ia selari dengan pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bahawa pihaknya juga mempertimbangkan elaun tambahan untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam.

Beliau berkata, meskipun cadangan itu masih di peringkat permulaan, tetapi ia akan tetap diteruskan bagi memastikan Tingkatan Enam menjadi pilihan utama pelajar-pelajar lain.

BACA LAGI: Beri peluang kedua calon tidak hadir SPM, galakkan ambil kemahiran TVET — KGMMB

BACA LAGI: Nik Nazmi buat laporan polis, nafi terlibat skim pelaburan guna nama dan gambar di Telegram

449318070_987084443420935_3687525618602203644_n

KPM kini dalam fasa menaik taraf tahap pendidikan pelajar Tingkatan Enam. — Gambar hiasan/Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor yang menyambut baik pengumuman tersebut berkata, pemberian elaun bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban pelajar malah meningkatkan kualiti kerja para guru.

Juhari berkata, bantuan itu sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kos pembelian buku yang diperlukan pelajar tersebut.

"Dari pihak kami, pengumuman itu sangat menggembirakan dan elaun pun memang sepatutnya diberikan sama seperti pelajar di GiatMARA terima.

"Elaun untuk guru penolong kanan adalah perkara yang lama kami perjuangkan dan sepatutnya tidak ada lagi alasan untuk kerajaan memberikan elaun.

"Jadi memang wajar mereka diberi elaun tambahan supaya motivasi mereka bekerja lebih tinggi dan sesuai dengan beban tugas yang ditanggung," katanya kepada Majoriti.

2717087

Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor

Mengulas lanjut, Juhari tidak menafikan bahawa penambah baikan itu memberi implikasi kewangan terhadap kerajaan.

Namun, beliau berpendapat pelaburan dalam bidang pendidikan tidak akan merugikan negara.

Baginya, rakyat perlu melihat hasil jangka panjang daripada pelaburan kerajaan itu.

"Implikasi kewangan memang ada, tetapi untuk pelaburan jangka panjang kepada pelajar-pelajar adalah kita tak perlu terlalu bimbang dan takut kerana ia tidak merugikan negara.

"Ini kerana, hasilnya akan melahirkan generasi yang berjaya dan mampu untuk menguruskan negara kita sebagai pemimpin di masa depan," jelasnya.

Beliau pada masa sama berkata, selain bantuan dalam bentuk elaun atau kewangan, kerajaan juga disarankan untuk menggunakan mekanisme lain dalam menaik taraf kualiti pelajar Tingkatan Enam.

2217877

Kemudahan asrama antara mekanisme bantuan lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan. — Gambar hiasan

Menurutnya, bantuan lain yang boleh diberikan antaranya adalah kemudahan asrama dan hostel kepada pelajar yang mungkin menetap jauh dari sekolah.

"Bukan itu sahaja, bantuan itu boleh dipertimbangkan untuk golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

"Bantuan dari segi sesi kaunseling untuk menguruskan tekanan juga boleh diberikan kepada para pelajar yang mempunyai masalah sosial," katanya lagi.

Juhari juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaburan bagi pihak sekolah menjayakan beberapa program kerjaya untuk pelajar Tingkatan Enam.

Sementara itu, KPM memaklumkan akan sentiasa komited untuk memperkasa dan memartabatkan pendidikan Tingkatan Enam dari semasa ke semasa dengan mengambil kira semua aspek agar laluan ini kekal menjadi salah satu pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram