Fatah, Hamas tandatangani perjanjian Beijing, sepakat perintah Gaza lepas perang berakhir


  • Benua
  • Selasa, 23 Jul 2024

Kumpulan itu menandatangani perjanjian untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan Palestin.

KEDUA-DUA pemimpin Fatah dan Hamas telah menandatangani perjanjian untuk mengakhiri konflik yang melanda kedua-dua kumpulan tersebut.

Wakil daripada dua kumpulan itu berkata, mereka akan membentuk Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara dengan kelompok lain Palestin selepas rundingan yang diadakan Menteri Luar China, Wang Yi, di Beijing.

Kumpulan itu menandatangani perjanjian untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan Palestin, memetik laporan agensi berita di China.

BACA LAGI: Yemen diserang, pelabuhan penting jadi sasaran

BACA LAGI: Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh

gettyimages-2162472319

Mahmoud al-Aloul (kiri), Wang Yi dan Mussa ketika bertemu di Beijing. — Pedro Pardo/AFP

Pengumuman itu dibuat selepas perbincangan melibatkan 14 kumpulan Palestin pada Ahad di ibu negara China.

Ia adalah langkah terbaharu untuk memulihkan usaha membentuk kerajaan antara Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Ketegangan semakin memuncak antara Fatah dan Hamas sejak serangan pejuang Hamas pada Oktober dan perang sembilan bulan di Gaza, dengan keganasan juga meningkat di Tebing Barat yang ditadbir Fatah.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang mengetuai Fatah, sebelum ini mengkritik kumpulan itu atas perang yang tercetus, manakala Hamas menuduh Abbas memihak kepada Israel.

Perselisihan faham antara kedua-dua kelompok itu terjadi selepas Hamas memenangi pilihan raya pada 2006 dan bertindak menguasai Semenanjung Gaza berikutan perang singkat yang menumpaskan tentera Palestin dipimpin Abbas.

Rundingan sebelum ini gagal berikutan perebutan kuasa dan keengganan Barat yang menolak untuk menerima mana-mana kerajaan termasuk Hamas melainkan kumpulan itu yang dilabelkan sebagai entiti pengganas oleh United Kingdom dan Amerika Syarikat, mengiktiraf Israel.

Perjanjian itu turut ditandatangani kumpulan jihad Islam yang berjuang bersama Hamas di Gaza, dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin berhaluan kiri.

Hubungan China dan Palestin bermula sejak 1960-an apabila China menyalurkan sumbangan makanan, senjata, latihan dan sokongan kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Baru-baru ini China telah menunjukkan perkembangan kewangan positif di Timur Tengah.

Bagaimanapun, tindakan negara itu menjadi tuan rumah untuk rundingan berkenaan adalah untuk meningkatkan pengaruh diplomatik di tengah-tengah ketegangan hubungan dengan Israel berhubung konflik Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram