Akibat bakar suar di Stadium Darul Aman, 3 penyokong JDT didenda RM100 setiap seorang


Ketiga-tiga lelaki yang tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca ke atas mereka di hadapan Majistret. — Buletin RTM

TIGA penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) didenda RM100 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret berbeza sekitar Alor Setar, Kedah pada Selasa kerana membakar suar selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA antara pasukan itu dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Jumaat lepas.

Berdasarkan laporan Harian Metro, tertuduh, Jalali Hamid, 47 dan Mohd Faizol Mohd Sapian, 27 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret 3.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad An'naffi Sahid, 34, turut membuat pengakuan sama dalam pertuduhan berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Majistret 2.

BACA LAGI: Fans tanya kebenaran bakar suar, FAM-MFL mahu kaji undang-undang negara dulu

BACA LAGI: 'Sudah jatuh ditimpa tangga', FAM siasat insiden pembakaran suar penyokong Kelantan

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10.45 malam di perkarangan Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.

Bersandarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melihat kesemua tertuduh menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT berhampiran perkarangan stadium berkenaan.

451834653_1056057855890190_2422401494923937415_n

JDT meraih kemenangan 2-1 ke atas KDA FC dalam perlawanan itu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tertuduh kemudiannya diarahkan untuk memadamkan suar tersebut sebelum diperiksa dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Pertuduhan terhadap Jalali dan Mohd. Faizol dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz manakala pertuduhan terhadap Mohamad An'nafi dilakukan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha.

Pertuduhan dikendalikan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 atau dipenjarakan tidak lebih sebulan atau kedua-duanya sekali.

Jalali dan Mohd Faizol diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tasha Farha Mohamad Nizam manakala Mohamad An'naffi diwakili seorang lagi peguam YBGK, H A Chuah.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya didenda RM100 dengan Jalali serta Mohd Faizol diarahkan untuk menjalani hukuman penjara 15 hari jika gagal melunaskan denda manakala Mohamad An'nafi diperintahkan untuk dipenjara 14 hari jika gagal berbuat demikian.

Sebelum perlawanan berlangsung, KDA FC sudah mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan untuk tidak membakar suar ketika ketibaan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram