'Sudah jatuh ditimpa tangga', FAM siasat insiden pembakaran suar penyokong Kelantan


  • Podium
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Zamsaham kini didesak oleh penyokong TRW supaya melepaskan pasukan Kelantan dengan segera. — Facebook

PENYOKONG Kelantan FC sudah tidak boleh menahan kemarahan dengan pihak pengurusan di atas persembahan serta prestasi semasa pasukan yang dibolosi 29 gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Dengan itu, penyokong-penyokong Kelantan melakukan protes secara besar-besaran terhadap pihak pengurusan dengan menyalakan suar di luar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan selepas tamat perlawanan menentang Selangor pada Jumaat.

Selepas kekalahan 2-11 menentang Selangor, penyokong berkumpul di luar stadium dan menyalakan suar, menggesa pemilik pasukan Norizam Tukiman meninggalkan kelab itu.

Namun tindakan daripada penyokong The Red Warriors (TRW) itu boleh menyebabkan Kelantan didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah mengesahkan bahawa kejadian itu sedang disiasat.

Video kejadian itu tular di media sosial.

Ketika perlawanan menentang Selangor, penyokong membentuk tanda emoji sedih di tempat penonton, mengambarkan kesedihan mereka atas prestasi semasa pasukan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, mengesahkan badan itu akan mengeluarkan surat kepada Kelantan berhubung insiden pembakaran suar itu.

"Saya sudah kumpulkan semua video bukti kejadian suar itu. Kami akan ambil tindakan ke atas perkara itu. Ini sama seperti apa yang kami lakukan kepada JDT dahulu apabila peminat mereka memasang suar di stadium.

"Kami akan mengeluarkan surat kepada Kelantan, dalam beberapa hari ini.

"Bagi pihak FAM, kami tidak mahu perkara ini berulang lagi. Ini soal keselamatan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan yang baharu, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu, sambil menambah turut menenangkan pemain selepas perlawanan.

"Kami mendahului 2-0 menentang kelab yang menduduki tempat kedua dalam liga. Tetapi tiada alasan. Saya mempunyai KPI saya sendiri.

"Ini baru hari kedua saya sebagai CEO tetapi saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 2-11 ini, " ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram