Fans tanya kebenaran bakar suar, FAM-MFL mahu kaji undang-undang negara dulu


  • Podium
  • Khamis, 29 Jun 2023

Menjadi isu dalam kalangan penyokong adakah pembakaran suar di stadium dibenarkan.

TINDAKAN membakar suar selepas perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) adalah dilarang dan perkara berkenaan juga termaktub di peraturan Artikel 70.1 Kod Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam peraturan berkenaan menegaskan jika sabit kesalahan, sesebuah pasukan Liga M boleh dikenakan denda berjumlah puluhan ribu ringgit.

Hal tersebut dibangkitkan semula apabila dalam perlawanan terbaharu skuad Harimau Selatan ketika menentang Selangor FC, penyokong kelab juara bertahan Liga Super itu masih melakukan aktiviti tersebut.

Perbuatan membakar suar itu dilakukan selepas kejayaan pasukan Selatan tanah air itu dengan mudahnya menumpaskan skuad Gergasi Merah 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, Johor pada Isnin bagi melangkah ke pentas akhir Piala FA 2023.

Sebelum ini, penyokong skuad Harimau Selatan membakar suar selepas tamat perlawanan Liga Super iaitu ketika aksi menentang Sabah FC yang berakhir dengan 4-0 dan ketika tundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0.

Tindakan membakar suar selepas perlawanan di SSI menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong lain mengenai tindakan susulan dari pihak FAM.

Screenshot 2023-06-29 at 19-10-17 Bakar suar di stadium adakah JDT senasib TFC

Insiden pembakaran suar dipercayai oleh penyokong JDT ketika perlawanan Liga Super menentang TFC pada 10 April lalu.

Namun sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengingatkan agar penyokong kelab Liga Super Malaysia tidak membakar suar ketika saingan liga itu berlangsung.

Naib Presiden FAM berkata, tindakan tatatertib ke atas perbuatan membakar suar di dalam stadium ketika perlawanan masih lagi berkuat kuasa di bawah bidang kuasa tatatertib FAM.

Berkenaan membakar suar, salah seorang penyokong pernah bertanya kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sama ada aktiviti itu boleh dilakukan dalam stadium.

Pertanyaan tersebut diajukan kepada Hamidin semasa Sesi Townhall peminat bola sepak Malaysia bersama Presiden FAM di Raia Hotel, Terengganu pada 15 Jun lalu.

Bagi pandangan Hamidin berkenaan pembakaran suar di stadium, beliau mahu merujuk dengan undang-undang negara terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa keputusan.

"Saya rasa dah berbincang dengan Datuk Ab. Ghani Hassan (MFL) dia akan buat rujukan balik tentang undang-undang kerajaan sama ada suar ini boleh dibenarkan ataupun tidak.

"Saya ingat kita kena lihat dari segi SOP sama ada dibenarkan semasa perlawanan ataupun sebelum perlawanan tetapi perlu melihat dari segi keselamatan penyokong yang datang ke stadium atau pun tempat di mana nak dibakar.

"Paling penting dengan pihak berkuasa sama ada benarkan atau tidak, Datuk Ghani dah bersetuju untuk bawa benda ini dalam 'board' mesti dapat pandangan dari polis dan juga pihak keselamatan," katanya ketika Sesi Townhall peminat bola sepak Malaysia pada 15 Jun 2023.

Sebelum ini, sebanyak tiga kali sekumpulan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membakar suar selepas perlawanan sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Setakat ini, hanya amaran yang dikenakan kepada JDT sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara kemungkinan JDT diberikan keistimewaan oleh FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram