[VIDEO] 'Saya tak anggap beban', Arif Aiman sarung lilitan kapten demi karier


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Arif boleh dikatakan layak untuk memikul peranan kapten berdasarkan sumbangannya buat pasukan beberapa tahun kebelakangan ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERANAN pemain sayap, Arif Aiman Hanapi dalam Johor Darul Ta'zim (JDT) kian meningkat selepas dia diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Dia yang baru sahaja berusia 22 tahun menggalas tanggungjawab berkenaan dalam aksi yang berakhir dengan kemenangan 2-1 buat skuad Harimau Selatan.

Meskipun masih terlalu muda dibandingkan dengan rakan sepasukannya, kepercayaan itu diberikan melihat kepada sumbangan tonggak pasukan itu beberapa musim kebelakangan ini.

BACA LAGI: Legenda HM pernah cadang Arif Aiman ke Timur Tengah lepas lakar hatrik berdepan Selangor

BACA LAGI: Heberty 'belanja' bola lepas ledak hatrik, Arif Aiman kaw-kaw dirantai pertahanan Tok Gajah

Malah, baginya, peranan itu tidak membebankan dirinya kerana ia adalah satu peluang baginya membuktikan bahawa dia sudah bersedia sekiranya perlu memakai lilitan tangan kapten.

"Bagi saya, peluang yang terbaik untuk saya. Saya rasa ini penghargaan bagi saya untuk jadi kapten JDT. Saya tak anggap beban, saya rasa ini peluang berharga bagi karier saya untuk masa akan datang," katanya kepada MFL.

Musim ini, Arif Aiman sekali lagi menjadi watak utama jaguh Liga Super berkenaan selepas mencatatkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam lima penampilan bagi kesemua pertandingan.

Kecederaan dialami pada awal musim sedikit sebanyak menyekat peluangnya untuk memberikan impak lebih bermakna seperti mana pernah dibuktikan pada tahun-tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai tiga tahun berturut-turut itu menghargai semangat dan keazaman dipamerkan rakan sepasukannya sepanjang 90 minit permainan.

452007599_1056057989223510_8581296179421677907_n

Romel Morales meledak gol minit akhir buat skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Saya amat berbangga dengan pemain semua yang memberi komitmen dan mencurahkan kesungguhan masing-masing. Walaupun kita terikat pada satu ketika, kita dapat gol minit akhir dengan itu bekalan cukup baik untuk dibawa ke Johor.

"Dalam bola sepak, perkara sedemikian biasa berlaku yang mana pasukan lawan dapat mengikat kedudukan. Namun, saya memberi pujian kepada rakan sepasukan yang berjuang untuk dapat gol sehingga minit akhir," katanya.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mendahului pada minit ke-24 selepas Oscar Arribas menampan masuk hantaran Heberty Fernandes.

Usaha dipamerkan KDA FC membuahkan hasil apabila pemain tengah pasukan, Habib Haroon berjaya mengikat kedudukan selepas berlakunya situasi kelam kabut dalam kotak penalti JDT.

Bagaimanapun, harapan skuad kendalian Nafuzi Zain untuk meraih keputusan seri tidak kesampaian selepas pemain simpanan lawan, Romel Morales memastikan kemenangan buat mereka pada minit-minit akhir waktu kecederaan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 4 Ogos dengan misi besar dipikul barisan pemain dan kejurulatihan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram