Ingkar amaran menteri, media asing lapor jumlah hukuman penjara Najib Razak dikurangkan


  • Primer
  • Rabu, 31 Jan 2024

Laporan media asing mendakwa Najib Razak menerima pengurangan jumlah hukuman penjara.

HUKUMAN penjara yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan, lapor media Singapura.

Channel News Asia (CNA) dalam laporannya yang memetik kenyataan tiga sumber pegawai kerajaan, berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Isnin, diketuai oleh Agong dan melibatkan pengurangan jumlah denda RM210 juta kepada satu jumlah yang tidak didedahkan.

Pengampunan itu katanya diberikan selepas Najib menjalani hukuman penjara susulan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tempoh kira-kira kurang dua tahun.

BACA LAGI : Mahkamah tolak permohonan Najib ketepi injuksi kes saman 1MDB

Former prime minister Datuk Seri Najib Razak (centre) meeting his supporters and give a short speech at the Palace of Justice (POJ) in Putrajaya yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Najib yang ketika ini masih mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat. — The Star

BACA LAGI : Spekulasi Najib bebas hampir terjawab, Dr Zaliha sahkan mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara

Laporan CNA, berdasarkan pengampunan itu, Najib berkemungkinan akan dibebaskan pada Ogos 2028 tetapi tempoh hukuman boleh dikurangkan seawal Ogos 2026 jika berkelakuan baik ketika dalam tahanan.

Laporan itu dikeluarkan CNA sehari selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi amaran supaya media tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan kes Najib tanpa mendapat pengesahan Lembaga Pengampunan atau kerajaan.

Beliau mengeluarkan amaran itu susulan terdapat pelbagai spekulasi dan laporan yang menyebut Najib bakal menerima pengampunan penuh terhadap kes yang dihadapinya.

Spekulasi tersebut dikatakan mula tersebar selepas sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan bahawa Ahli Lembaga termasuk dirinya telah bertemu pada Isnin lalu dan mengatakan pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Lembaga Pengampunan ekoran kes berkenaan.

Namun, pertemuan itu juga dilaporkan merupakan antara tugas rasmi terakhir Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda berundur sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 pada Rabu dan menyerahkan peranan itu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi CNA dilaporkan berkata, pihaknya masih belum dimaklumkan tentang sebarang keputusan daripada Lembaga Pengampunan.

Media tempatan juga difahamkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada Rabu.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram