[VIDEO] Dinding bangunan Mydin Manjoi runtuh, 2 remaja nyaris dihempap cedera ringan


  • Massa
  • Isnin, 22 Jul 2024

Bangunan pasar raya Mydin di Manjoi, Perak dilaporkan runtuh kira-kira pukul 7 petang Isnin. — Ihsan bomba

BANGUNAN pasar raya Mydin di Manjoi, Perak dilaporkan runtuh dan mengakibatkan dua remaja nyaris dihempap dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang Isnin.

Namun, kedua-duanya disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan terselamat daripada sebarang kecelakaan.

Rakaman kejadian turut meraih perkongsian ramai di laman media dan tular dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: Dua tragedi ragut nyawa, ini 4 insiden runtuhan tak terduga berlaku di Malaysia tahun ini

BACA LAGI: [VIDEO] Kes runtuhan di Bayan Lepas: 3 disahkan maut, 4 dikhuatiri masih tertimbus

Mengesahkan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri sempat melawat ke kawasan tapak kejadian sebaik menerima berita kecemasan tersebut.

452196377_26939242139008351_406511198548551627_n (1)

Hafez Sabri ketika melawat ke lokasi kejadian pada Isnin. — Facebook/Hafez Sabri

"Selepas mendapat berita kecemasan berkenaan sebahagian bangunan Mydin Manjoi runtuh, terus saya bergegas ke tapak kejadian melihat apa yang berlaku.

"Ada dua remaja cedera akibat terkena serpihan runtuhan ini, dalam makluman saya keadaan mereka dalam keadaan stabil.

"Isu bangunan Mydin yang masih tidak selamat ini perlu diselesaikan segera oleh pihak yang berkaitan. Perkara ini melibatkan isu keselamatan penduduk Gugusan Manjoi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambahnya, isu tersebut telah dilaporkan kepada pihak atasan untuk penyelesaian segera.

"Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, kerana selagi bangunan Mydin ini dalam keadaan seperti ini maka pada bila-bila masa sahaja sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Saya telah majukan masalah ini kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya, semoga ada jalan penyelesaian.

"Terima kasih kepada pihak Bomba Meru Raya yang hadir bagi memastikan keselamatan masyarakat dalam keadaan terkawal sebentar tadi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram