[VIDEO] Kes runtuhan di Bayan Lepas: 3 disahkan maut, 4 dikhuatiri masih tertimbus


  • 112
  • Rabu, 29 Nov 2023

Dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital. — Bernama

TIGA pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut dalam insiden runtuhan sebuah gudang logistik yang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas di Pulau Pinang, setakat 1.40 pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad ketika mengesahkan perkara itu berkata, dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Beliau berkata, empat lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mohamad Usuf berkata, dua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.

"Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.45 malam dan dimaklumkan terdapat 18 pekerja di tapak pembinaan gudang logistik tersebut tetapi sembilan orang telah keluar solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.

"Ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan bekerja di bahagian bawah rasuk sepanjang lebih 12 meter dengan berat dianggarkan 14 tan sebelum ia terjatuh lalu melanggar rasuk lain dan menimpa pekerja terbabit.

"Dua mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 10 malam, manakala seorang yang parah meninggal dunia di HPP,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Mohamad Usuf berkata, kren digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap.

406619668_775565664602849_7495956082568757142_n

Kren digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap. — Bernama

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata, kawasan kejadian dianggarkan berkeluasan satu gelanggang bola keranjang dan kren serta peralatan lain digunakan untuk mengangkat binaan yang runtuh.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) akan dipanggil sekiranya diperlukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Konsul Kehormat Bangladesh Datuk Shaik Ismail Allaudin yang turut berada di lokasi berkata pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat kesemua mangsa terlibat.

"Setakat ini saya belum boleh berikan apa-apa kenyataan kerana belum dapat maklumat rasmi.

"Saya sudah minta kontraktor terlibat untuk berikan semua butiran mangsa kerana walaupun kita tahu mereka warga Bangladesh tetapi kita masih perlukan dokumen untuk pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram