Dua tragedi ragut nyawa, ini 4 insiden runtuhan tak terduga berlaku di Malaysia tahun ini


  • Massa
  • Khamis, 30 Nov 2023

Bangunan resort di Pulau Perhentian, Terengganu yang runtuh pada 9 November. — Bernama

PADA Selasa malam, negara dikejutkan dengan kejadian runtuhan melibatkan sebuah bangunan gudang logistik yang sedang dalam proses pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Lebih menyayat hati, insiden tersebut melibatkan kehilangan nyawa beberapa pekerja binaan yang berada di lokasi ketika kejadian.

Setakat awal pagi Rabu, polis mengesahkan sekurang-kurangnya tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut sementara dua lagi parah parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

Empat lagi mangsa yang dilaporkan tertimbus pula rupa-rupanya berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan menghilang gara-gara tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

405496545_775759421250140_8594389330121345245_n

Kren digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap. — Bernama

Untuk rekod, insiden runtuhan bangunan dan binaan seperti yang terjadi pada Selasa itu bukanlah kali pertama berlaku di dalam negara pada tahun ini.

Malah, ini merupakan kes runtuhan kedua yang melibatkan kehilangan nyawa.

Berikut Majoriti senarikan tiga lagi insiden runtuhan membabitkan bangunan yang berlaku di dalam negara pada 2023:

1. Bangunan restoran runtuh di Pulau Perhentian

Pada 9 November lalu, sebuah bangunan restoran tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu runtuh dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi.

Dalam insiden berkenaan, seorang pekerja warga Indonesia maut selepas terperangkap lebih 24 jam manakala seorang lagi juga dari Indonesia meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Difahamkan, bangunan restoran terbabit dibina secara haram pada 2020 dan tidak mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Susulan daripada itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd Zahari Hitam dilaporkan berkata, pemilik resort yang menempatkan premis itu berkemungkinan akan didakwa.

Menurut beliau, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pemilik resort itu sekiranya didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994.

Ia memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

2. Siling pusat beli-belah di PJ runtuh akibat ribut

Sebanyak tiga individu mengalami cedera ringan selepas binaan siling di sebuah pusat beli-belah, Megah Rise Mall, Petaling Jaya, Selangor runtuh akibat hujan lebat pada 28 Oktober lalu.

Kejadian yang turut dirakam menerusi satu video tular itu memaparkan insiden cemas beberapa pengunjung melarikan diri daripada terkena runtuhan berkenaan.

2360233 (1)

Keadaan bumbung yang runtuh dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. — Facebook/ArielKusriniAriel

Susulan daripada kejadian tersebut, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dilaporkan memulakan siasatan berhubung insiden keruntuhan pada sebahagian siling di pusat beli-belah terbabit.

Pada masa sama, pihak pemaju pusat beli-belah terbabit, PBB Properties dalam kenyataan medianya menyatakan kesediaan memberi kerjasama berhubung insiden tersebut.

3. Struktur rasuk runtuh hempap 10 kereta di KL

Pada 14 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 10 kenderaan rosak teruk selepas dihempap runtuhan struktur rasuk bumbung sebuah bangunan komersial lima tingkat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ketika insiden tersebut memandangkan ia terjadi semasa luar waktu operasi perniagaan di premis terbabit iaitu sekitar pukul 10.40 malam.

Bagaimanapun, kesan runtuhan dilihat sangat membimbangkan dan sememangnya berpotensi meragut nyawa sekiranya terdapat individu berada di lokasi semasa kejadian.

Susulan daripada itu, kawasan bangunan berusia 20 tahun yang melibatkan 45 unit kedai terbabit diarahkan ditutup sementara sehingga laporan lengkap daripada pakar perunding bangunan selesai.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norizan Sulaiman dilaporkan berkata, siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada kelemahan binaan bangunan tersebut.

2232971

Keadaan beberapa buah kenderaan yang dihempap struktur bumbung yang runtuh di Kuchai Lama. — Facebook

"Daripada segi luaran, reka bentuk bangunan kelihatan baik, tetapi siapa tahu semasa proses pembinaan, ia mungkin mempunyai reka bentuk penggantungan yang lemah, dan tampungan muatan tambahan tidak mencukupi yang menyumbang kepada keruntuhan rasuk bangunan," katanya.

Bagaimanapun, Norizan dilaporkan berkata, kepastian mengenai perkara tersebut menurut beliau hanya boleh diketahui selepas siasatan menyeluruh oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram