Bocor memo kes Najib pecah amanah tak penuhi syarat, Pemuda Umno gesa siasatan lanjut


  • Politik
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Najib Razak berdepan enam pertuduhan pecah amanah.

KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menyiasat kesahihan dokumen tersebut berserta isi kandungannya siasatan lanjut berhubung pendedahan sebuah dokumen yang didakwa 'Memo Dalaman' Jabatan Peguam Negara (AGC) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, dokumen tersebut turut mempunyai kaitan dengan pasukan pendakwaan IPIC sepanjang 12 muka surat bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh berkenaan dengan 6 pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Bin Abdullah.

Melalui perkongsian Akmal di laman Facebook peribadinya pada Jumaat mendakwa, isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

"Dokumen yang tular tersebut didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara ketika itu).

"Pemuda Umno Malaysia mengambil serius berkenaan dengan perkara ini memandangkan dakwaan pendedahan-pendedahan yang dicatatkan di dalam dokumen tersebut mengandungi rumusan keterangan terperinci yang dengan jelas memberikan kesan kepada kes enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib yang masih berjalan di mahkamah," katanya.

Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Jasin, Melaka itu meminta Jabatan Peguam Negara haruslah mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib dan Tan Sri Mohd Irwan selaras dengan rekomendasi di dalam dokumen tersebut.

"Seandainya juga isi kandungan dokumen tersebut adalah sahih, Pemuda Umno Malaysia mendesak satu siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Datuk Seri Najib.

"Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku.

"Negara juga telah mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 billion (RM8.3 bilion) berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak AS$7 billion (RM32.6 bilion) antara pentadbiran Najib dengan pihak IPIC.

"Pemuda Umno Malaysia sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang. Undang-undang sedia ada di Malaysia ini bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan.

"Pemuda Umno Malaysia tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas mana-mana cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram