[VIDEO] Wanita rugi hampir RM5,000, kerusi berjenama lesap lepas pulang berkelah di Kuantan


  • Tular
  • Ahad, 21 Jul 2024

Tangkap layar daripada kejadian pecah masuk kereta yang dialami seorang pengguna Facebook di Kuantan, Pahang.

TULAR sebuah video di media sosial memaparkan kenderaan milik seorang wanita menjadi sasaran pencuri ketika dia pergi berkelah pada 14 Julai lalu.

Dalam klip berdurasi 43 saat yang dikongsikan, pengguna Facebook, Atiey Rahmat berkongsi keadaan keretanya yang kehilangan kerusi dan beberapa komponen lain.

"Balik dari perkelahan semalam (13 Julai) kira-kira pukul 2.30 petang dan ternampak bonet kereta sudah terangkat. Apabila pergi membuat semakan, habis kerusi dalam kereta semua kena curi. Semoga segala urusan aku dipermudahkan," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Proton Wira terperosok bawah treler di Ulu Tiram meninggal dunia pada Jumaat

BACA LAGI: [VIDEO] Kereta 'lipat' dua, pemandu Wira maut tersepit lepas rempuh pencawang elektrik di Chini

Namun, melihat kepada keadaan berdasarkan klip berkenaan, kereta berwarna putih itu masih berfungsi dengan kedengaran bunyi enjin sepanjang video berkenaan.

Berdasarkan pengguna Facebook tersebut, insiden berlaku di Cenderawasih, Kuantan, Pahang dengan kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan.

"Kes berlaku di kawasan perumahan Cenderawasih. Cuma, kejadian kehilangan ini saya tahu selepas pulang dari berkelah di Pantai Cempaka, Kuantan, Pahang.

"Kerusi yang hilang itu berjenama Recaro dengan kesemua set di hadapan dan belakang hilang. Saya memang berhajat untuk dapatkan semula kerusi itu sekiranya rezeki masih berpihak kepada saya," katanya kepada Majoriti.

Anggaran daripada mangsa mendapati kos kerugian ditanggung adalah kira-kira RM5,000 dengan dia turut berharap orang ramai dapat membantu menyelesaikan kes tersebut.

"Saya sudah buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. CCTV ada nampak kereta Wira lain yang datang curi kerusi pada malam 12 Julai," katanya lagi.

Setakat ini, polis Kuantan masih belum mengesahkan sekiranya sudah menerima laporan daripada mangsa berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram