PEMANDU kereta Proton Wira yang tercedera selepas terperosok di bawah treler di Ulu Tiram, Johor pada Rabu lalu dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.
Berita mengenai pemergian mangsa itu dimaklumkan oleh anak saudaranya menerusi satu hantaran di Facebook.
"Pakcik saya yang dalam kereta wira sudah meninggal. Semoga Allah merahmati dan menempatkan arwah bersama orang-orang yang beriman. Yang mengenali arwah mohon maaf jika ada salah silap pakcik saya," tulis Aaisyah Humairah.
BACA LAGI: Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN
BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri
Difahamkan, mangsa yang berusia lingkungan 60 tahun dan dikenali sebagai Ramli Abdullah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam kejadian pada Rabu, kereta dipandu arwah terperosok di bawah sebuah treler panjang yang ketika itu sedang keluar dari satu simpang.
Detik-detik kemalangan terbabit turut dirakam oleh pemandu lori berkenaan yang membuat video di bahagian tempat duduk pemandu ketika dia cuba keluar dari simpang terbabit.
Menerusi klip terbabit, pemandu kenderaan berat itu dilihat sedang memberikan arahan kepada kenderaan lain untuk memberikan laluan.
Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat kemudian, kereta dipandu mangsa didapati meluru laju dan tidak sempat untuk membrek sebelum terperosok di bawah treler berkenaan yang membawa muatan besi panjang.
Menerusi perkongsian ahli keluarga terdekat, ketika kejadian, mangsa yang difahamkan mengalami penyakit buah pinggang sedang memandu pulang selepas mendapatkan rawatan dialisis.
Punca sebenar kematian arwah bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Majoriti sedang cuba menghubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan butiran lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram