PM Anwar sumbang RM40,000 kepada waris mangsa nahas rombongan cikgu di Rompin


  • Primer
  • Isnin, 10 Jun 2024

Kemalangan pada awal pagi Jumaat itu melibatkan sebuah rombongan bas dan lori di Jalan Kuantan-Segamat, Johor berhampiran persimpangan Bahau, Rompin, Pahang. — Facebook

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada waris keluarga empat individu yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

Sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir menyantuni kesemua keluarga terlibat.

Shamsul berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan kepada keluarga yang diuji dengan ujian sangat berat, di samping turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga berkenaan.

BACA LAGI: Empat maut, bas bawa rombongan cikgu jatuh cerun berlanggar treler di Bahau

BACA LAGI: 'Ada 'perkara hebat' sedang terjadi di Selatan', Tun M jangka 40,000 penumpang guna RTS Link Johor-Singapura tidak lama lagi

2738857

Bas terbabit dilaporkan hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori treler sebelum terbalik di cerun tepi jalan. — Facebook

"Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta sukarelawan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha membantu mangsa kemalangan.

"Kerajaan juga komited untuk terus berusaha memastikan keselamatan rakyat dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang di masa hadapan," katanya pada Isnin.

Terdahulu, seramai empat penumpang maut dan 37 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori treler di Jalan Kuantan-Segamat, Johor berhampiran persimpangan Bahau, Rompin, Pahang pada awal pagi Jumaat lalu.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 orang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari sekolah itu bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri satu program penanda aras. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram