Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara


  • Politik
  • Ahad, 07 Jul 2024

Tangkap layar peta kawasan pilihan raya di Malaysia. — Tindak Malaysia

PADA tahun lalu, isu persempadanan semula kawasan pilihan raya kembali menjadi tumpuan selepas ia dibangkitkan oleh seorang pimpinan PAS.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa parti di dalam Kerajaan Perpaduan dijangka akan menggunakan persempadanan semula sebagai 'kad terakhir' untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau sebelum itu turut mendakwa parti komponen kerajaan yang kini terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedar dengan komposisi kedudukan kerusi seperti sekarang, gabungan kerjasama itu sukar untuk menang dengan selesa tanpa sokongan padu daripada rakyat.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keadaan itu terbukti menerusi keputusan dicatatkan pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri pada Ogos tahun lepas.

"Ia sudah terbukti dengan jelas di dalam pilihan raya negeri di enam buah negeri yang lepas, sepatutnya jika gabungan PH-BN diterima dengan baik oleh rakyat, mereka boleh menang dengan lebih selesa.

"Namun ia tidak berlaku demikian, gabungan ini semakin gagal untuk menambahkan kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya sekalipun PH dan BN telah bergabung.

"Senario ini jika dibiarkan dalam masa empat tahun akan lebih teruk buat gabungan PH-BN. Justeru, persempadanan semula dengan memberikan lebih kerusi kepada mereka untuk menang dengan peluang yang lebih tinggi akan dilaksanakan," dakwanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada 18 Disember 2023.

Kenyataan oleh Ahmad Fadhli itu dilontarkan tidak sampai sehari selepas Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor meluluskan usul mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Secara umumnya, kerisauan disuarakan oleh Ahmad Fadhli itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Ini kerana, sebelum ini, proses persempadanan semula sememangnya pernah digunakan oleh pihak yang berkuasa atau lebih tepatnya parti kerajaan untuk memastikan ia dilaksanakan untuk memberikan kelebihan kepada mereka.

Untuk memahami isu ini dengan lebih jelas, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami apakah itu yang dinamakan sebagai persempadanan semula.

Apakah itu persempadanan semula?

Persempadanan semula ialah proses yang ditetapkan dalam perlembagaan untuk menyempadankan sempadan pilihan raya bagi memastikan pemilih, iaitu pengundi menerima perwakilan yang saksama di dalam sistem pilihan raya negara.

Di Malaysia, prinsip persempadanan semula adalah berpandukan Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi peruntukan tersebut, persempadanan semula perlu dilakukan untuk memastikan kawasan pilihan raya negeri adalah mengikut prinsip yang ditetapkan mengikut prinsip di bawah Jadual ke-13.

Prinsip terbabit terbahagi kepada empat.

A member of media arrive for Chairman of EC Tan Seri  Mohd Hashim Abdullah announcing the date of nomination and polling for the 14th General Election in Putrajaya.Azhar Mahfof/The Star (10/4/2018)

Proses persempadanan semula dilaksanakan oleh SPR.

1. Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

2. Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

3. Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.

4. Memelihara hubungan tempatan.

Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 10 tahun selepas persempadanan semula sebelumnya.

Untuk rekod, kali terakhir proses persempadanan semula dilakukan adalah sebelum PRU14 iaitu pada 2018.

Pada 1 Januari lalu, SPR memaklumkan pihaknya tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan tempoh yang masih berkuat kuasa.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, proses kajian persempadanan semula oleh SPR di Sarawak bermula 2024 manakala di Sabah pada 2025 manakala di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Isu gerrymandering ketika persempadanan semula

Gerrymandering atau gerimander merupakan satu tindakan manipulasi yang dilakukan ketika proses persempadanan pilihan raya.

Manipulasi ini dilakukan sama ada melalui penciptaan kerusi baharu atau persempadanan semula kerusi sedia ada untuk memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.

Secara umumnya, terdapat dua teknik standard yang digunakan dalam gerrymandering.

Pertama, manipulasi gerrymandering dilakukan dengan cara mengumpulkan pengundi lawan di satu kerusi yang sudah pasti menjadi milik parti lawan.

Situasi ini akan menyebabkan lawan memenangi majoriti besar di kerusi selamat tersebut tanpa mendapat kerusi baharu.

Teknik kedua pula adalah melalui pemecahan undi dengan sempadan dibuat dengan cara pengundi lawan diagihkan secara bertebaran di banyak daerah termasuk dengan mencipta kerusi baharu bagi tujuan ini.

Cara sedemikian akan menyebabkan pihak lawan sukar untuk memenangi sebarang kerusi kerana undi daripada pengundinya dipisah-pisahkan sehingga menyebabkan undi mereka gagal membentuk sokongan mencukupi.

Kesan gerrymandering

Kesan amalan gerrymandering menyebabkan berlakunya ketidaksamaan pembahagian jumlah pengundi di beberapa kawasan pilihan raya di dalam negara.

Meskipun mustahil, untuk mempunyai setiap kawasan pilihan raya dengan bilangan pengundi yang sama kerana perbezaan saiz populasi, taburan dan geografi, perbezaannya atau dikenali sebagai sisihan perlu munasabah yang jumlahnya antara 10 hingga 15 peratus kurang atau lebih daripada saiz purata pengundi kawasan pilihan raya di dalam negara.

Sebagai contoh, saiz purata pengundi ideal bagi setiap kawasan Parlimen di Malaysia yang memiliki 21 juta pengundi dan 222 kawasan Parlimen ialah 94,600 orang.

Sebarang perbezaan atau sisihan lebih besar atau kurang daripada 15 peratus daripada purata jumlah itu boleh dikategorikan sebagai kawasan yang jumlah perwakilannya adalah di bawah atau di atas jumlah perwakilan yang sepatutnya.

Situasi ketidaksamaan pembahagian jumlah pengundi di sesuatu kawasan ini dapat dilihat khususnya di kawasan bandar yang menyaksikan terdapat kerusi yang mencecah sehingga 302,786 pengundi iaitu di kawasan Parlimen Bangi.

Election Commission workers arranging ballot boxes at the SK Bintulu polling station in preparation for the Jepak by-election. - ZULAZHAR SHEBLEE / The Star

Kesan amalan 'gerrymandering' menyebabkan berlakunya ketidaksamaan pembahagian jumlah pengundi di seluruh kawasan pilihan raya. — Gambar hiasan

Antara kawasan Parlimen lain yang turut mempunyai jumlah pengundi agak tinggi adalah Klang (208,854), Damansara (238,287), Subang (230,616), Gombak (205,537) dan Tebrau (223,837).

Sekali imbas, kebanyakan kawasan tersebut merupakan kawasan yang dikenali sebagai kawasan kubu kuat parti pembangkang sebelum PRU14.

Dalam pada itu, gerrymandering turut berpotensi memberikan kesan terhadap jumlah perwakilan atau kerusi Parlimen bagi negeri tertentu.

Sebagai contoh, terdapat negeri tertentu yang dilihat mempunyai jumlah kerusi yang tidak sepadan dengan jumlah keseluruhan pengundinya.

Situasi itu menyebabkan negeri berkenaan tidak mempunyai perwakilan yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk membawa suara rakyat di negeri berkenaan.

Pada masa sama, kesan amalan gerrymandering juga dapat dilihat dengan jelas apabila kerajaan yang dipilih selepas pilihan raya bukanlah kerajaan yang mendapat undi majoriti daripada keseluruhan pengundi di dalam negara.

Keadaan ini boleh disaksikan ketika PRU13 dan PRU12 apabila pembangkang yang ketika itu terdiri daripada gabungan Pakatan Rakyat (PR) gagal membentuk kerajaan meskipun mempunyai undi majoriti kerana tidak dapat menguasai kerusi yang mencukupi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram