TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membidas kenyataan Tun Dr Mahathir yang menuduh Malaysia memberikan 'subsidi' Singapura dalam penjualan air mentah kepada republik tersebut.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perjanjian bekalan air antara Malaysia bukan perkara baharu malah ia turut berjalan ketika tempoh Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sedang melihat semula semua perjanjian yang ada berhubung perkara tersebut.
BACA LAGI: KPM kaji cadangan bawa guru sukarelawan dari Singapura — Fadhlina Sidek
BACA LAGI: Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis
"Kena tanya balik Tun M. Waktu dia jadi Perdana Menteri, benda itu masih berlaku.
"Jadi sama ada kita bagi subsidi atau tidak, kita sedang melihat balik semua perjanjian yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Water Malaysia 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.
Fadillah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Water Malaysia 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu. — Majoriti
Pada Sabtu, Mahathir menerusi satu kenyataan berkata, Malaysia memberikan ‘subsidi’ kepada Singapura dengan menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen (SG$ 1 sen) sahaja bagi setiap 1,000 gelen sejak tahun 1962.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sejak 61 tahun lalu iaitu dari tahun 1962 hingga 2023, kerajaan Malaysia memberi 'subsidi' kepada negara seberang tambak itu berjumlah 2.379 bilion.
Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Oktober lalu berkata, penyelesaian isu perjanjian air Malaysia-Singapura perlu disegerakan untuk membolehkan kadar harga bekalan air ke republik itu dapat ditingkatkan, sekali gus menampung kos penyelenggaraan punca bekalan air.
Perkara itu dinyatakan ketika pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 yang diadakan di Singapura.
Sebelum ini, Singapura dilaporkan sudah bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan mengenakan syarat Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011 namun ia ditolak republik tersebut.
Perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang ditandatangani pada 1962 dijadual berakhir pada 2061.
Menerusi perjanjian itu, Singapura mendapat memberi hak mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Johor kemudian membeli semula air terawat dari republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram