Bukan sebab pengundi pilih 'ISO' berbanding PhD', ini punca PH kalah majoriti besar di PRK Sungai Bakap


  • Politik
  • Ahad, 07 Jul 2024

Abidin (kiri) berjaya menewaskan Joohari dengan majoriti besar iaitu 4,267 undi.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi berbanding 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.

Menerusi keputusan diumumkan pada Sabtu, calon PN, Abidin Ismail berjaya memperoleh sejumlah 14,489 undi sekali gus meninggalkan jauh pesaingnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

Dalam pada itu, keputusan direkodkan pada PRK Sungai Bakap itu pastinya menimbulkan pelbagai reaksi daripada kedua-dua pihak.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Perikatan candidate Abidin Ismail show a V-signbwhike casting his vote at SK Sg Duri.  ( July 06, 2024 )   — LIM BENG TATT/The Star

Di pihak PN, kemenangan terbabit pastinya menjadi sesuatu yang diraikan memandangkan ia diperoleh dengan majoriti lebih besar.

Perkara itu dilihat boleh digunakan untuk cuba memberikan gambaran bahawa mereka kini mendapat sokongan rakyat khususnya dalam berdepan dengan pelaksanaan beberapa dasar penting oleh kerajaan.

Di pihak PH, pula kegagalan merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap yang pernah menjadi milik mereka pastinya memberikan tamparan hebat.

Pada masa sama, terdapat juga segelintir penyokong Kerajaan Perpaduan yang tidak dapat menahan kekecewaan mereka terhadap keputusan tersebut.

Malah, ada antaranya turut menyalahkan pengundi di DUN Sungai Bakap yang disifatkan 'tidak pandai memilih' dengan menggunakan latar belakang pendidikan dan kerjaya calon sebagai perbandingan.

Kelemahan kempen

Ini kerana mereka berpandangan, pengundi sepatutnya memilih Joohari yang menurutnya mempunyai kelayakan kerjaya dan pendidikan tinggi bertaraf PhD berbanding Abidin yang pernah mencetuskan kontroversi dengan isu persijilan Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO).

Mengulas mengenai perkara tersebut, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kenyataan sedemikian yang mempersoalkan pilihan pengundi adalah sesuatu yang dangkal.

"Saya rasa tidak adil untuk melabel pengundi seperti itu. Sebab ini adalah pentas demokrasi. 14 hari kempen itu adalah platform terbaik untuk setiap parti politik memasarkan tawaran mereka.

"Jadi, kalau pengundi tidak memilih mereka, mesti ada sesuatu kelemahan dari segi kempen yang dilakukan mereka," katanya kepada Majoriti.

2787551

Abidin berjaya memperoleh sebanyak 14,489 undi meninggalkan pesaingnya yang mendapat 10,222 undi.

Mengambil konteks PRK Sungai Bakap, beliau berkata, kebanyakan masalah yang diangkat dan menjadi perhatian pengundi bukanlah sesuatu isu remeh termasuk berkenaan dengan hal-hal setempat.

"Sebahagian isu ini memang timbul secara organik sebenarnya. Contohnya dalam isu penyasaran subsidi dan ura-ura pelarasan subsidi petrol RON95. Itu memang sangat menakutkan dalam kalangan pengundi. Dan isu seperti itu tidak diberi jawapan yang tuntas oleh kempen PH.

"Kemudian bagi isu tempatan seperti bekalan air sebagai misalnya. Rata-rata yang saya temui di lapangan pengundi menyuarakan rasa kurang selesa dengan masalah bekalan air dan sebagainya.

Pengundi merajuk

Mohd Yusri yang juga Ketua Penyelidik Ilham Centre berkata, oleh demikian, isu itu juga tidak boleh dipandang remeh oleh PH apatah lagi PH telah mentadbir kerajaan Pulau Pinang sekian lama

"Semua isu ini bila bergabung, akhirnya majoriti pengundi buat pilihan untuk memilih PN berbanding PH. Pilihan rakyat dan pengundi perlu dihormati," katanya lagi.

Mengulas mengenai kekalahan dihadapi PH dengan majoriti lebih besar, Mohd Yusri berkata, perkara itu disumbang antara lain oleh kegagalan PH untuk meyakinkan pengundi yang mengundi mereka pada PRN lepas untuk keluar memberikan sokongan terhadap gabungan tersebut.

Ujarnya, berdasarkan pemerhatian lapangan dilakukan, sebahagian besar pengundi PH yang terdiri daripada kumpulan menengah termasuk daripada kaum Cina dilihat agak kecewa dengan beberapa dasar utama dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.

2776807

Kebanyakan masalah yang diangkat dan menjadi perhatian pengundi disifatkan bukanlah sesuatu isu remeh termasuk berkenaan dengan hal-hal setempat. — Gambar hiasan

"Mereka ini mungkin merajuk dengan polisi ekonomi dan dasar yang dibuat kerajaan PH. Mereka ini terdiri daripada kolongan M40 atas, kemudian golongan T20 dan juga pengundi etnik Cina yang terlibat secara langsung dalam iklim perniagaan di Malaysia.

"Walaupun polisi seperti pelarasan subsidi dan cukai yang dibuat itu bagus untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara, tetapi yang banyak terkesan adalah mereka.

"Jadi sebab itu kalau kita temui di lapangan, mereka ini agak kurang selesa sebab mereka yang menyokong PH sebelum ini, namun tiba-tiba apabila menang mereka pula terkesan," ujarnya.

Dalam pada itu, walaupun jumlahnya kecil, Mohd Yusri berkata, terdapat juga sebahagian daripada pengundi PH yang melakukan undi protes dengan memberikan undi mereka kepada PN.

Untuk rekod, meskipun majoriti undi diperoleh PN meningkat kepada 4,267 undi, namun jumlah undi yang diperolehi calonnya pada PRK kali ini merosot sebanyak 944 undi iaitu daripada 15,433 undi pada PRN lalu kepada 14,489.

Kemerosotan undi yang diperoleh PH lebih ketara dengan calonnya pada PRK kali ini memperoleh 10,222 undi berbanding 13,870, iaitu menurun 3,648.

Pada masa sama, peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap yang diadakan pada Sabtu juga merekodkan penurun kepada 63.45 peratus berbanding 76.88 pada PRN tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram