Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri


  • Primer
  • Selasa, 16 Jul 2024

Fadillah berkata, jumlah kos tersebut merupakan antara cabaran besar perlu ditangani secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memastikan penyediaan bekalan air bersih. — Gambar hiasan

NEGARA dianggar memerlukan sekitar RM10 bilion ringgit bagi menggantikan keseluruhan paip lama yang mengalami kebocoran di seluruh Malaysia, kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah kos tersebut merupakan antara cabaran besar perlu ditangani secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memastikan penyediaan bekalan air bersih.

Sehubungan itu, Fadillah berkata, Kerajaan ketika ini sedang meneliti dan mencari mekanisme terbaik bagi menangani isu tersebut.

BACA LAGI: KPM kaji cadangan bawa guru sukarelawan dari Singapura — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis

"Kalau kita serahkan kepada pihak operator air ataupun negeri, memang mereka tidak akan mampu. Jadi ini mekanisme yang kita kena lihat dari segi pendanaan. Bagaimana Kerajaan Persekutuan boleh bantu dan apa kaedah pendanaan yang boleh kita sediakan.

"Adakah berbentuk geran, pinjaman dan sebagainya. Kaedah-kaedah ini yang sedang kita teliti untuk muktamadkan. Akhirnya matlamatnya ialah kita perlu pastikan bekalan air bersih kepada setiap rakyat kita mesti ada dan tidak boleh putus bekalan air," katanya.

6102752596512062529

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Water Malaysia 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.

Fadillah berkata, isu paip lama yang mengalami kebocoran di seluruh negara menyebabkan terdapat negeri yang mempunyai kadar Air Tidak Terhasil atau Non-Revenue Water (NRW) lebih 50 peratus.

"Maknanya bila kita proses air yang sudah dirawat, 50 peratus daripada hilang macam itu saja (akibat paip bocor)," ujarnya.

Fadillah berkata, buat masa ini, akses terhadap capaian bekalan air bersih di dalam negara ketika ini sudah mencapai 97.1 peratus.

Sebelum itu, beliau ketika berucap merasmikan persidangan tersebut berkata, antara objektif strategik pelan transformasi air negara adalah untuk menyasarkan peningkatan keberhasilan air bersih dan liputan sistem kumbahan di kawasan pedalaman kepada 98 peratus menjelang 2025.

Jelas beliau, pelan tersebut juga akan menggariskan langkah pengurangan kadar NRW kepada 31 peratus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram