Penduduk persoal, kontena Israel didakwa berada di Iskandar Puteri


  • Primer
  • Sabtu, 01 Jun 2024

SEBUAH pelabuhan di Iskandar Puteri didakwa menerima masuk kontena-kontena dari sebuah syarikat perkapalan Israel. — Gambar Hiasan

KEWUJUDAN kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk sekitar.

Memetik laporan BuletinTV3, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa memberikan penjelasan mengenai dakwaan kononnya kontena-kontena dari Israel masih dibawa masuk ke negara ini walaupun kerajaan sudah mengeluarkan larangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu bas tidak fikir nyawa penumpang, tergamak memotong treler dekat 'double lane' di Gerik

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi semak di Pontian, rupanya ada mayat reput 10 hari di kerusi tempat duduk

WhatsApp Image 2024-06-01 at 18.31.47

Pandak (kanan) berharap kerajaan dapat memberi penjelasan terhadap dakwaan mengapa kontena-kontena dari Israel masih diterima masuk dan berada di negara ini. — Facebook/PandakAhmad

“Saya menerima aduan minggu lepas memaklumkan sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, didakwa masih menerima masuk kontena-kontena dari sebuah syarikat perkapalan Israel.

“Isu ini sudah menjadi buah mulut penduduk sekitar pelabuhan berkenaan yang kurang senang dan resah apabila mengenangkan penderitaan rakyat Palestin yang sehingga kini bertarung nyawa apabila tanah air mereka bukan sahaja dirampas malah Zionis berterusan membunuh individu tidak berdosa termasuk kanak-kanak di sana,” katanya.

Tambah Pandak, beliau sendiri sudah membuat aduan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi memaklumkan apa yang terjadi di kawasan Kota Iskandar ini pada Jumaat.

Pada masa sama, Pandak berharap kerajaan dapat memberi penjelasan terhadap dakwaan mengapa kontena-kontena dari Israel masih diterima masuk dan berada di negara ini sedangkan kerajaan sudah beberapa kali mengeluarkan larangan itu.

Pada 7 Mei lalu, kerajaan dilaporkan tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel berlabuh di pelabuhan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia teguh dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel masuk ke negara ini.

“Tak ada kapal dari Israel berlabuh. Kita tak benarkan,” kata Perdana Menteri.

Ia susulan laporan sebuah portal sebelum ini yang mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia, hujung April lalu.

Menurut laporan portal itu, kapal berkenaan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China dengan menggunakan bendera negara Liberia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram