UMNO bakal memulakan tindakan perundangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang bertindak menyertai PAS selepas digantung keahlian daripada parti.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu dilakukan kerana Muhammad Jailani didapati melanggar Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Melaka yang ditandatangani pada 2021.
Ujar beliau, ADUN Rembia itu juga didapati melanggar akuan bersumpah (SD) ditandatangani beliau yang antara lain menetapkan setiap calon mewakili BN perlu membayar RM100 juta jika melompat parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN, Umno, MIC dan/atau MCA, termasuk menjadi ADUN Bebas.
BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan
BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara
Asyraf Wajdi turut menjelaskan, SD terbabit turut menyatakan bahawa setiap calon perlu meletakkan jawatan sebagai ahli BN, Umno dan ADUN supaya pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan.
"Ini adalah salinan asal PRN Ke-15 Melaka pada 2021 ((Perjanjian Perwakilan Calon BN) yang telahpun dimatikan setemnya di bawah LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah dan saksi.
"Ini adalah tandatangan beliau (Muhamad Jailani) yang paling jelas. Selain perjanjian ini, ada juga SD setiap calon. Tulisan beliau sendiri dan tandatangan," katanya menerusi satu hantaran video dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.
Asyraf Wajdi berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa beliau tidak terikat dengan Umno dan BN, selepas mengisytiharkan penyertaan ke dalam PAS, baru-baru ini.
ADUN Rembia, Muhamad Jailani Khamis.
Pada Selasa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno sah menyertai Pas.
Pada tahun lalu, Umno tahun menggantung keahlian Muhammad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti apabila dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, SD ditandatangani ADUN Rembia itu bakal mempunyai kesan dari sudut perundangan kerana terdapat duluan kes sebelum ini membabitkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin.
"Kita sudah ada kes diputuskan Mahkamah Tinggi, membabitkan Zuraida yang melompat daripada PKR (dan) perlu membayar balik RM10 juta.
"Namun, dalam kontrak BN bukan RM10 juta, tetapi RM100 juta," ujar beliau.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, tindakan Muhamad Jailani itu juga didapati melanggar Fasal 20.8 dan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno berkaitan tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas mana-mana ahli parti berkenaan.
Ujarnya, peruntukan dalam Perlembagaan Umno juga membezakan parti itu dengan BERSATU mahupun PAS memandangkan ia sudah dipinda sebelum PRU15.
"Fasal 20.8 menetapkan mana-mana ahli (Umno) yang menjadi ahli berdaftar parti politik lain, maka keahliannya gugur setelah disahkan Majlis Kerja Tertinggi.
"Fasal 20.11.1 pula menetapkan seseorang ahli Umno akan tergugur keahliannya secara automatik, jika telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat atau DUN dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik tidak dianggotai Umno atau memilih untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat atau DUN Bebas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram