KEPUTUSAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai parti PAS, tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Melaka.
Menurut laporan Astro Awani, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dengan kedudukan hanya tambahan seorang ADUN daripada blok pembangkang menjadikan ia tiga, kerajaan komited meneruskan dengan majoriti mandat yang diberi rakyat Melaka.
Bagaimanapun, Ab Rauf menegaskan tindakan susulan yang akan dikenakan kepada Muhamad Jailani berkenaan kedudukannya sebagai ADUN adalah tertakluk kepada pengumuman oleh Speaker DUN Melaka sendiri.
BACA LAGI: ADUN Rembia berdepan tindakan Umno, kerajaan Melaka — Rauf
BACA LAGI: Pemilihan Azmawi beri gambaran Umno keluar daripada bayangan 'warlord' parti di Kelantan
Jailani meninggalkan Umno Melaka dan menyertai PAS.
Manakala berkenaan dengan tindakan akan diambil parti Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diwakilinya sebagai wakil rakyat akan diputuskan Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat berdasarkan undang-undang dan aku janji yang pernah ditandatanganinya sebelum ini.
"Dia sudah menandatangani satu aku janji, penghijrahan kepada parti politik asal, nak jadi wakil rakyat. Dalam aku janji tersebut ada menyebut tentang kesediaan menerima apa jua syarat yang ditandatangani, termasuk mengambil kira semua kos sekiranya dia beralih kepada parti lain.
"MT akan membuat penelitian dari sudut perundangan untuk diambil tindakan susulan," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Sementara itu, menjawab dakwaan Jailani Khamis memberitahu peruntukan di kawasannya disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat seolah-olah digantung tidak bertali, katanya ia adalah tidak tepat.
Rauf Yusoh (tengah) ketika mengadakan sesi sidang media berhubung masa depan Muhammad Jailani.
Bagi Ab Rauf, itu merupakan perkara yang Jailani sendiri pilih untuk tidak terus berjuang kepada parti hingga keistimewaannya terhalang walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin Umno.
"Seronok cara dia cakap, patutnya bila parti ambil tindakan dalam idah digantung keahlian, sepatutnya ikut parti supaya perbaiki kesilapan atau kesalahan yang membuatkan dia digantung keahlian.
"Jadi, kalau kita bersikap tidak sealiran dengan parti, maka parti berhak jalankan tugas sebagai pentadbir wakil rakyat parti ini dengan memberikan amaran dan tidak memberikan kemudahan, berlandaskan aku janji.
"Kalau cakap macam begitu saya tak berapa setuju, seolah-olah kita bernikah tidak bertali, bercerai tanpa talak," katanya lagi.
Ketika ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menunggu surat rasmi daripada Muhamad Jailani susulan penyertaannya ke dalam PAS sebelum mengambil sebarang tindakan.
Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, setakat ini, pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi dan perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan.
Pada Selasa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno sah menyertai PAS.
Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram