STRATEGI Barisan Nasional (BN) bertanding secara sendirian tanpa kerjasama parti lain membuahkan kemenangan selepas memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, menurut laporan rasmi myundi.com.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.
Kejayaan tersebut juga bakal menyaksikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang juga calon Ketua Menteri BN mengesahkan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu di negeri itu selepas BN kembali menguasai negeri Hang Tuah berkenaan.
Timbalan Pengerusi BN itu menyumbang kepada kemenangan gagasan politik itu selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH) (Mohamad Asri Ibrahim) dan Perikatan Nasional (PN) (Abdullah Mahadi) dengan 4,016 undi.
BN turut memenangi beberapa kerusi panas lain antaranya DUN Rim yang menyaksikan Datuk Khaidira Abu Zahar atau Dira mengatasi dua lawannya daripada PN (Azalina Abdul Raman) dan PH (Prasanth Kumar).
Selain itu ialah DUN Tanjung Bidara yang mana calon Ketua Menteri PN, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan majoriti 2,864 undi.
Kawasan lain yang dimenangi BN ialah DUN Asahan, Sungai Udang, Sungai Rambai, Rembia, Merlimau, Serkam, Paya Rumput, Gadek, Telok Mas, Pantai Kundor, Machap Jaya, Kuala Linggi.
Pengarah Pilihan Raya BN yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini turut meramalkan BN mampu menguasai 18 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Melaka itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram