Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN


  • Politik
  • Rabu, 17 Jul 2024

Awang Azman berkata, provokasi mencabar pembubaran DUN Melaka itu dilihat tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat. — Gambar hiasan

KENYATAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan hanya usaha untuk meraih sokongan pengundi.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, cabaran berkenaan dilihat tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat.

Disebabkan itu, beliau berkata, Ab Rauf tidak sepatutnya melayan kenyataan bersifat provokasi dilontarkan Mohd Aleef.

"Mengapa perlu melayan seorang pembangkang sedangkan tugas sebenar Ketua Menteri sekarang ialah untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Pada waktu ini, saya lihat adalah lebih penting untuk semua ADUN fokus bagi kemukakan perbandingan dari segi prestasi mereka membangunkan kawasan masing-masing.

"Ini kerana kalau ikut tempoh sebenar, PRN Melaka sepatutnya berlangsung hujung tahun 2026. Jadi ada banyak lagi masa," katanya kepada Majoriti.

KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof.--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof.

Pada Selasa, Mohd Aleef dilapor mencabar Ab Rauf untuk membubarkan DUN Melaka sekiranya pemimpin itu benar-benar mahu untuk memastikan BN merampas kerusi DUN Sungai Udang.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan Umno, menyatakan kesungguhannya untuk menawan kembali kerusi DUN Sungai Udang pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU DUN Melaka ke-15, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Dr Mohd Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 6,259 undi.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, kenyataan Mohd Aleef itu juga dilihat sengaja dikeluarkan untuk mengambil kesempatan terhadap perkembangan terbaharu yang menyaksikan penyertaan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai PAS pada Selasa.

Dr Akmal cabar Mohd Aleef buat PRK di Sungai Udang

Turut mengulas mengenai kenyataan Mohd Aleef ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mencabar ADUN Sungai Udang itu untuk mengosongkan kerusi bagi memberi laluan berlangsungnya PRK di kawasan tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan pencapaian prestasi beberapa ADUN pembangkang yang didakwa masih belum menunaikan janji yang dibuat sebelum ini.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh at press conference before attending the UMNO division chiefs meeting at Menara Dato Onn in PWTC. AZMAN GHANI / The Star

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Hari ini kalau pun tak mampu nak bagi idea nak bantu rakyat, kurang-kurang manifesto sebelum ini tunaikanlah.

"Tapi ketua kamu (ADUN) Bemban (Dr Mohd Yadzil Yaakub) yang nyatakan manifesto dia nak bagi klinik percuma sampai hari ini pun tak boleh buat. Lagi pula nak minta Ketua Menteri bubarkan sidang DUN.

"Kita ini jangan susahkan rakyat, kalau kamu betul-betul anak jantan, saya cabar kamu letak jawatan sebagai ADUN Sungai Udang dan kita buat PRK. Kita tengok macam mana," ujarnya yang juga ADUN Merlimau menerusi hantaran video di TikToknya pada Selasa.

Pada PRN Melaka ke-15, BN berjaya memenangi 21 kerusi diikuti Pakatan Harapan (lima) dan Perikatan Nasional (dua). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram