Ada nilai sentimental, datuk 80 tahun galas beg cucu, mangsa nahas MH17


  • Benua
  • Khamis, 18 Jul 2024

Anton memegang beg galas berwarna biru dengan tag tertera nombor penerbangan MAS di Vijfhuizen.

SEORANG lelaki berusia 80 tahun dilihat memegang beg galas berwarna biru dengan tag tertera nombor penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di Vijfhuizen.

Warga emas bernama Anton Kotte itu mengatakan bahawa beg tersebut mempunyai nilai sentimental buat dirinya.

Anton yang membawa beg galas itu dengan perkataan ‘REMCO’, mendedahkan bahawa cucu lelakinya yang berusia enam tahun membawa beg galas itu untuk bercuti, ketika dia dalam perjalanan bersama ibu bapanya menaiki penerbangan MH17, pada 17 Julai 2014.

BACA LAGI: 'Teringat peristiwa MH370 dan MH17', ramai bimbang dengar pesawat MH780 ke Bangkok isytihar kecemasan

BACA LAGI: Terkesan tragedi MH17, rakyat tak setuju beri Ukraine bantuan ubat, anggap banyak negara lain lebih layak

WhatsApp Image 2024-07-18 at 17.31.59

Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen menjadi tempat untuk memperingati mangsa nahas MH17.

"Selepas setengah tahun pesawat itu terhempas, pihak berkuasa menghubungi saya dan bertanya jika saya mahu membawanya (beg galas) pulang.

"Saya kata saya mahukannya. Mereka bawa beg itu ke rumah dan tunjukkan kepada saya. Ini beg cucu saya paling kecil.

"Barangan miliknya seperti kereta permainan, pensel dan buku ada dalam beg itu. Tiada calar pada beg. Saya terima beg ini dalam keadaan baik. Ia tidak terbakar atau rosak akibat kemalangan, ia satu keajaiban," katanya sambil menambah, beg galas berkenaan merupakan kenangan paling penting untuk beliau terhadap cucunya.

10 tahun lepas, warga Belanda itu pada ketika berusia 70 tahun kehilangan anaknya Oscar, menantunya, Miranda dan cucu, Remco Kotte dalam tragedi MH17.

"Kini saya berusia 80 tahun dan masih hidup, dari 10 tahun lepas hingga hari ini, tetapi kehidupan saya bersama anak saya telah dirampas secara kejam. Ia bukan satu perasaan yang baik. Mereka tidak bersalah,” katanya selepas upacara memperingati mangsa nahas itu yang ke-10 di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam.

Terdahulu, lebih 1,500 ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul dalam upacara itu untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Turut hadir dalam upacara tersebut ialah Raja Belanda Willem-Alexander.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 17.32.29 (1)

Ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul dalam upacara memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu, lima wakil media Malaysia termasuk dari Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dijemput untuk menyertai upacara peringatan itu, selama tiga hari, bermula pada 15 Julai.

Program termasuk siri acara dan lawatan tapak yang dirancangkan untuk memberikan pemahaman mendalam tentang usaha dan kerjasama berterusan antara Belanda dan Malaysia, selepas nahas MH17.

Pesawat malang jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol dan mengorbankan kesemua 283 penumpang serta 15 anak kapalnya.

Pada 17 November 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ (tanpa kehadiran) ke atas dua bekas ejen perisik Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan atas tuduhan sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram