Jika disusun, hampir 6,000 kenderaan tersadai ditunda PBT di Selangor melepasi aras Gunung Everest


  • Massa
  • Rabu, 12 Apr 2023

Pihak PBT akan bertindak menunda kenderaan-kenderaan yang terbiar berdasarkan aduan daripada penduduk di kawasan sekitar yang terganggu dengan aset tersebut.

SELANGOR merekodkan sejumlah 5,728 buah kenderaan terbengkalai dan terbiar ditunda oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) setakat Februari lalu.

Lebih mengejutkan, jika kenderaan-kenderaan tersebut disusun secara menegak, ketinggiannya boleh mencecah lebih 10,000 meter, mengalahkan ketinggian gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest setinggi 8,848.86 meter.

Kawasan paling banyak kenderaan ditunda ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebanyak 1,369 buah, diikuti dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (1,205), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (945), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) (696) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) (649) dalam tempoh tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, kebanyakan kenderaan tersebut ditinggalkan di tepi jalan, tapak parkir di kawasan perumahan, tempat komersial dan sekitar bengkel kereta.

Menurutnya, pihak PBT biasanya menunda kenderaan-kenderaan tersebut atas aduan yang dibuat oleh penduduk sekitar kerana ia mengganggu lalu lintas di kawasan tersebut, selain berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

file7pjdm059aoz1dtim368l

Ng Sze Han.

"Biasanya pihak PBT akan menghantar notis makluman kepada pemilik kenderaan untuk memberitahu kenderaan mereka akan ditunda.

"Namun pemilik kenderaan boleh menuntut aset mereka dalam tempoh yang ditetapkan sebelum dilupuskan oleh PBT yang menyelia kawasan mereka," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Sze Han berkata, pemilik kenderaan akan dikenakan kompaun dan kos penyimpanan kenderaan berkenaan mengikut tempoh masa tuntutan dibuat.

Katanya, jika pemilik kenderaan tidak menuntut aset mereka dalam tempoh yang diberi, sesetengah PBT akan bertindak melupuskan kenderaan tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) PBT berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram