Suspek bunuh Nur Farah Kartini tunjuk kawasan semak, anak sungai di lokasi mayat dijumpai


  • 112
  • Selasa, 16 Jul 2024

Suspek yang dibawa ke lokasi kejadian iaitu di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Selangor pada Selasa. — The Star

SUSPEK lelaki berusia 26 tahun terlibat kes pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke lokasi kejadian iaitu di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Selangor pada Selasa.

Suspek yang disahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal tiba di lokasi itu kira-kira pukul 2.30 petang menaiki empat kenderaan dengan berbaju lokap oren dan memakai pelitup muka serta diiringi polis.

Kehadirannya dilaporkan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang berasal dari Miri, Sarawak itu.

BACA LAGI: Polis tahan penjawat awam lelaki disyaki terbabit kes bunuh Nur Farah Kartini

BACA LAGI: Abang tak putus harapan, keluarga di Sarawak terkedu terima khabar duka kematian Nur Farah Kartini

2803304

Allahyarham Nur Farah Kartini.

Sepanjang kira-kira 15 minit di lokasi itu, suspek yang berbaju reman berwarna oren dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai kawasan sebenar mayat Nur Farah Kartini ditemukan.

Sebelum ini, suspek dilaporkan merupakan anggota polis yang ditugaskan di Perak direman selama tujuh hari mulai Selasa untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Untuk rekod, suspek sudah lima tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di Balai Polis Slim River di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Terdahulu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada masa sama dilaporkan berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan hampir reput dan dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.

“Buat masa ini kita belum dapat memastikan jenis kecederaan yang dialami. Perlu tunggu proses bedah siasat yang dijalankan petang ini selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein berkata, masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuklah dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram