Wan Ahmad Fayshal berisiko digantung 6 bulan masuk Dewan Rakyat


  • Primer
  • Rabu, 17 Jul 2024

Wan Ahmad Fayshal didakwa mencemarkan nama baik beberapa individu dengan merujuk kepada surat layang semasa perbahasan di Parlimen. — Parlimen

AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berisiko menghadapi penggantungan enam bulan daripada Dewan Rakyat.

Ia selepas ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu didakwa mencemarkan nama baik beberapa individu dengan merujuk kepada surat layang semasa perbahasan di Parlimen.

Kandungan isi surat itu antara lain mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pihak yang aktif dalam mendesak langkah penswastaan ​​Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

BACA LAGI: Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN

BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri

Usul penggantungan Wan Ahmad Fayshal akan difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dijangka dibentangkan kira-kira pada pukul 11.30 pagi di Dewan Rakyat pada Khamis.

Usul itu disenaraikan sebagai sebahagian daripada Aturan untuk prosiding Dewan Rakyat pada Khamis.

Wan Ahmad Fayshal merujuk kepada surat itu ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 pada 1 Julai lalu.

Surat itu didakwa mendedahkan "dalang" di sebalik penswastaan MAHB adalah individu daripada kalangan pekerja dalam KWSP.

Pada masa sama, ia turut mendakwa individu terbabit melakukan perlakuan buruk terhadap rakan sekerja.

“Machang membangkitkan surat layang yang pengarang dan kandungannya tidak disahkan.

“Ini telah mencemarkan nama baik individu yang didakwa dan juga pegawai kementerian melalui dakwaan tidak berasas itu,” menurut usul itu.

The China tourist arrived at KLIA

Kandungan isi surat itu antara lain mendakwa KWSP adalah pihak yang aktif dalam mendesak langkah penswastaan MAHB. — Gambar hiasan

Difahamkan ahli Parlimen Machang itu akan mengadakan sidang media pada Khamis.

Wan Ahmad Fayshal merupakan antara individu yang lantang bersuara mengenai penswastaan ​​MAHB berikutan perbincangan Global Infrastructure Partners (GIP) bersama-sama dengan Abu Dhabi Investment Authority yang merancang membeli 30 peratus kepentingan dalam langkah penswastaan ​​MAHB.

Baki 70 peratus akan dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd dan KWSP.

Perjanjian itu dikritik oleh ahli politik Pembangkang selepas GIP dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk dijual kepada BlackRock, sebuah firma yang dilaporkan mempunyai pelaburan di Israel.

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

GIP juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa BlackRock tidak akan terlibat dalam pengurusan lapangan terbang di bawah MAHB.

Awal tahun ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan turut berdepan hukuman penggantungan selama enam bulan kerana membuat dakwaan tidak berasas rasuah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

Ahli Parlimen PN itu bagaimanapun terlepas selepas mengeluarkan permohonan maaf di Dewan Rakyat.

Wan Saiful juga memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. — The Star/GERARD GIMINO/TARRENCE TAN/RAGANANTHINI VETHASALAM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram