19 petugas keselamatan lapangan terbang dipecat terlibat curi duit penumpang


  • Benua
  • Rabu, 27 Sep 2023

Kakitangan Pejabat Pengangkutan dan Keselamatan memeriksa bagasi penumpang di kawasan pemeriksaan akhir di Terminal 1 Antarabangsa Ninoy Aquino di Pasay City pada 25 September 2023.

SERAMAI 19 kakitangan Pejabat Keselamatan Pengangkutan (OTS), sebuah agensi di bawah Jabatan Pengangkutan (DOTr), dipecat sejak Julai 2022 selepas dikesan mencuri daripada penumpang syarikat penerbangan, menurut Setiausaha Pengangkutan, Jaime Bautista di Manila pada Selasa.

“Sebenarnya, kami telah menyiasat 60 kes mengenai insiden kecurian di lapangan terbang yang melibatkan pekerja OTS,” kata Jaime pada Selasa semasa mesyuarat Senat mengenai permintaan bajet DOTr sebanyak P214 bilion (bersamaan RM17.6 bilion) bagi tahun 2024.

Kes yang disiasat termasuk insiden 8 September di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, Filipina di mana seorang pegawai keselamatan OTS menelan wang tunai bernilai AS$300 (kira-kira RM1,406) yang dicuri daripada seorang pelancong China.

Pegawai wanita itu menelan wang bagi mengelakkannya daripada ditangkap selepas mencuri daripada dompet seorang penumpang ketika pemeriksaan imbasan badan.

Bagaimanapun, tindakannya dirakam kamera keselamatan lapangan terbang sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Insiden itu merupakan satu kejadian yang memalukan bagi sebuah laluan pintu masuk antarabangsa utama negara, dan mendapat kritikan daripada syarikat pengurusan perjalanan kerana menjadi salah satu lapangan terbang terburuk di dunia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram