GARA-gara tidak perasan kehadiran sebuah treler panjang yang sedang keluar simpang, seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terperosok di bawah lori terbabit dalam kejadian di Ulu Tiram, Johor pada Rabu.
Detik-detik kemalangan terbabit turut dirakam oleh pemandu lori berkenaan yang membuat video di bahagian tempat duduk pemandu ketika dia cuba keluar dari simpang terbabit.
Menerusi klip terbabit, pemandu kenderaan berat itu dilihat sedang memberikan arahan kepada kenderaan lain untuk memberikan laluan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Proton Wira terperosok bawah treler di Ulu Tiram meninggal dunia pada Jumaat
BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri
Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat kemudian, sebuah kereta didapati meluru laju dan tidak sempat untuk membrek sebelum terperosok di bawah treler berkenaan yang membawa muatan besi panjang.
Dalam pada itu, menerusi video berasingan, kemalangan itu menyebabkan sebahagian besar bahagian hadapan kereta terbabit remuk.
Bagaimanapun, difahamkan pemandu kenderaan Proton Wira itu terselamat, namun mengalami kecederaan.
Berdasarkan video dikongsikan orang awam, pegawai perubatan juga sudah tiba di lokasi untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Sementara itu, di ruangan komen Facebook, seorang pengguna yang dipercayai ahli keluarga mangsa memaklumkan pemandu kereta berkenaan difahamkan mengalami penyakit buah pinggang dan baru sahaja pulang daripada rawatan dialisis.
"Allahuakbar. Pakcik saya ni. Dia dalam perjalanan balik dari analisis cuci darah (sakit buah pinggang). Pakcik saya dalam keadaan lemah itu," tulis Aaaisyah Humairah yang merupakan anak saudara mangsa.
Dalam pada itu, bomba dalam satu kenyataan mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Sufian Md Lis dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 11.34 pagi.
“Sebaik sampai mendapati seorang mangsa, iaitu pemandu kereta Proton Wira, seorang lelaki dewasa melayu dalam lingkungan 60 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka telah dikeluarkan oleh orang awam dari tempat duduk pemandu manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan” katanya.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram